RAUDHAH
Selepas Solat Asar, kami berpeluang berada di Raudah.
Raudhah ertinya taman. Raudhah ialah satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi, selain menjadi tempat Rasulullah S.A.W dan para sahabat beribadat dan tempatnya turunnya wahyu kepada Rasulullah S.A.W. Ia juga ialah sebuah taman syurga.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah telah bersabda :
Ertinya : "Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga. Dan mimbarku terletak di atas kolamku." (Sahih Bukhari no. 1196)
Alhamdulillah, hari ini dapat masuk ke Raudah kali kedua dengan selesa.
Tempat Solat Rasulullah
Setelah berkiblatkan Kaabah, tempat Rasulullah S.A.W selalu menunaikan solat adalah di sebelah kiri mimbar. Di situlah Rasulullah S.A.W berdiri semasa menimam solat. Jika peluang dan berkelapangan eloklah untuk kita bersolat dan berdoa di situ.
Tiang-tiang bersejarah
Terdapat 8 batang tiang bersejarah yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri :
1. Tianag Wangi (Tiang al-Mukhallaqah)
Ini ialah tanda tempat Rasulullah S.A.W selalu bersolat dan bermunajat. Tempat ini berlakunya peristiwa tangisan batang tamar sewaktu Rasulullah S.A.W berpindah menyampaikan khutbah di atas mimbar. Para sahabat selalu menyapu minyak wangi di tempat itu sebagai tanda tempat solat Rasulullah S.A.W. Oleh sebab itu, wujudlah nama Tiang Wangi. Pada hari ini, tiang tersebut telah termasuk sebahagian daripada ke dalam mihrab yang tertulis :
Ertinya : "Ini tempat solah Rasulullah (iaitu di bahagian kanan mihrab)"
2. Tiang Sayidatina Aisyah
Tiang ini adalah yang ketiga dari mimbar, yang ketiga dari makam Rasulullah s.a.w dan yang ketiga juga dari kedudukan kiblat dalam masjid. Nama lainnya ialah "Tiang Undi" kerana menurut al-Tabarani dalam kitabnya al-Awsat, 118 : Sayidatina Aisyah r.a berkata bahawa RAsulullah S.A.W telah bersabda :
Ertinya : "Di dalam masjidku ini ada satu tempat yang jika manusia mengetahui tentang kelebihannya nescaya mereka akan berkerumun di situ sehingga terpaksa mencabut undi untuk mendapatkan tempat solat di situ."
3. Tiang Taubat (Tiang Abu Lubabah)
Tiang ini adalah yang keempat dari mimbar, yang kedua dari makam Rasulullah s.a.w dan yang ketiga dari kedudukan kiblat. Tiang ini juga dikenali sebagai "Tiang Abu Lubabah" kerana di situlah Abu Lubabah telah mengikat dirinya sebagai hukuman kerana telah mengkhianati Rasulullah s.a.w kepada Yahudi Bani Quraizah.
4. Tiang Katil (Tiang Sarir)
Tiang ini ialah tiang di mana suatu masa dahulu adalah tempat Nabi Muhammad SAW berehat dan sebagai pangkin Saidatina Aishah R.A menyikat dan menyisir rambut Nabi.
5. Tiang Pengawal (Tiang Ali/Tiang Al-Hars)
Tiang ini dahulu adalah tiang yang digunakan sebagai tempat untuk mengawal rumah Nabi Muhammad S.A.W, di mana pengawalnya diketuai oleh Saidina Ali RA. Tiang ini dinamakan dengan tiang ‘Ali bin Abi Talib R.A dan tiang al-Muharris yang bermaksud penjaga, kerana ‘Ali R.A sering duduk di tiang tersebut untuk menjaga dan melindungi Rasulullah SAW. Ini berterusan sehinggalah diturunkan firman Allah SWT:
Maksudnya : “Dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia.” (Surah al-Ma’idah: 67)
Selepas diturunkan ayat ini, tidak ada lagi sahabat yang menjaga atau mengawal keselamatan Rasulullah SAW di tiang itu.[
6. Tiang Perwakilan (Tiang Wufud)
Suatu masa dahulu di tiang ini digunakan oleh Nabi Muhammad untuk berjumpa dengan pemimpin dari deligasi luar yang datang ke Madinah untuk berjumpa dengan Baginda SAW.
7. Tiang Empat Persegi Kubur
Tiang ini dikenali juga sebagai ‘Tiang Maqam JibriL ‘alaihissalam iaitu tempat berdiri Malaikat JibriL ‘alaihissalam ketika datang bertemu Rasulullah SAW. Ia terletak di sebelah timur ‘Raudhah’. Sekarang tidak dapat dilihat dari luar kerana telah terletak di dalam pagar maqam.
8. Tiang Tahajjud
Tiang ini terletak di belakang rumah Fatimah RHa. Rasulullah S.A.W solat Tahajjud bersendirian di sini selepas para jemaah meninggalkan masjid. Sekarang tidak dapat dilihat dari luar kerana telah termasuk di dalam dinding yang mengelilingi makam.
Rumusan
Tiang-tiang tersebut berada dalam Raudhah yang ada disebut kelebihannya secara umum, namum tidak terdapat kelebihan atau fadhilat khusus bagi setiap tiang itu, hanya sekadar untuk menceritakan kisah dan sejarah Rasulullah S.A.W dan sahabatnya. Oleh yang demikian, bersolatlah di mana-mana bahagian Raudhah yang kita berpeluang melakukannya. Jangan terikat dengan tiang-tiang itu.
Beginilah sedikit sebanyak kisah dan sejarah yang terdapat mengenai tiang-tiang yang terdapat di dalam Raudah. Kesemua tiang ini kini terukir padanya nama-nama yang telah disebutkan, maka amatlah baik sebagai seorang muslim untuk menambahkan lagi kecintaan terhadap masjid agung ini dengan mempelajari tentang sirah-sirah Rasulullah SAW di setiap tiang yang disebutkan.
Secara tidak langsung, ziarah kita ke al-Masjid al-Nabawi akan menjadi lebih bermakna dan padat dengan maklumat serta info baharu. Semoga Allah SWT merezekikan kita untuk menziarahi masjid yang mulia ini sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat. Amin.
LINK
Comments