9.30 malam - Berkumpul di Aras 5, KLIA. Check-in bagasi. Wakil POTO Travel memberi taklimat sebelum berangkat ke Bursa dan Istanbul, Turki. Kumpulan ke Turki ini seramai 30 orang termasuk wakil POTO dua orang. Ketua Rombongan adalah Puan Pauziah dan dibantu oleh Puan Norainon.
Jumpa bekas guru STK, Tuan Syed Adnan. Beliau dan isteri (Pn Noraini) turut serta dalam kumpulan kami ke Istanbul dan Bursa.
Penerbangan kami ke Istanbul dengan menaiki pesawat MAS, MH 0030. Penerbangan dari KLIA ke Istanbul mengambil masa lebih kurang 11 jam. Sepanjang dalam kapalterbang, kami diberi makanan ringan (kacang) dan minuman jus, makanan malam dan sarapan.
20 MAC 2013 - HARI KEDUA
Kami tiba di Istanbul jam 6.10 pagi waktu Istanbul.
Kami disambut oleh wakil pemandu pelancong tempatan, Encik Ayden. Kami dibawa menaiki bas dan terus ke destinasi pertama, Bursa.
MENAIKI FERI KE BURSA
Bursa adalah ibu negeri kerajaan Ottoman sekitar tahun 1326 hingga tahun 1365. Bursa boleh dianggap sebagai tempat kelahiran budaya Turki moden.
Dalam perjalanan ke Bursa, kami melalui salah satu jambatan utama yang menghubungi benua Eropah dan Asia iaitu Bosphorus Bridge untuk ke terminal feri. Jambatan ini menghubungi Ortaköy (sebelah Eropa) dan Beylerbeyi (sebelah Asia). Jambatan ini siap dibian pada tahun 1973. Panjang jambatan ini sejauh 1,560 meter.
Kemudian kami menaiki feri ke Bursa. Ini merupakan jalan pintas untuk Bursa berbanding menggunakan jalanraya yang jauh dan sesak. Perjalanan dengan feri ini mengambil masa 40 minit untuk sampai ke terminal di Bursa.
Perkhidmatan feri ini sama dengan perkhidmatan feri di Pulau Pinang. Di bahagian atas feri ini ada disediakan gerai makanan ringan, tempat duduk untuk bersantai dan perkhidmatan mengecas handphone dan tablet.
MAKAN TENGAHARI
Setibanya kami di Bursa, kami terus dibawa ke sebuah restoran untuk menikmati makan tengahari.
Selepas makan tengahari, kebetulan anak-anak Turki pulang dari sekolah dan berjalan di hadapan restoran. Kami tahan mereka dan bergambar bersama dengan mereka sebagai kenangan.
Kemudian kami dibawa ke Ulu Cami untuk menunaikan Solat Jamak Zohor dengan Asar. Di Turki, masjid itu setaraf surau di Malaysia manakala Cami (Jamek) setaraf Masjid.
ULU CAMI (GRAND MOSQUE)
Ulu Cami adalah masjid terbesar di Bursa dan mercu tanda awal seni bina Uthmaniyyah, yang membawa banyak unsur dari seni bina Seljuk. Masjid ini telah direka dan dibina oleh arkitek Ali Neccar dalam tahun 1396-1399, dalam zaman pemerintahan Sultan Bayezid I. Ia adalah sebuah bangunan segi empat tepat yang besar, dengan dua puluh kubah yang disusun dalam 4x5 baris dan disokong oleh dua belas tiang. Masjid ini mempunyai dua menara.
Terdapat Mimbar yang diukir halus serta tulisan khat yang cantik yang menghiasi dinding-dinding masjid. Terdapat juga tempat berwuduk dan pancutan air tiga tingkat yang menarik.
SILK MARKET
Selepas Solat Jamak Zohor dan Asar, kami dibawa ke Silk Market. Di tingkat bawah, Silk Market terdapat gerai-gerai dan kafe manakala di tingkat satu terdapat kedai-kedai yang menjual kain sutera. Tidak banyak kedai yang menjual kain sutera secara kain ela tetapi kebanyakan kain sutera telah disiapkan sebagai kain tudung dan selendang.
Di hadapan kedai, banyak terdapat kerusi-kerusi kecil serta meja untuk pengunjung berehat sambil menikmati teh.
Di bahagian tengah tingkat bawah terdapat sebuah masjid kecil untuk pengunjung bersolat bila sampai waktunya.
HOTEL BURCMAN, BURSA
Setelah shopping di Silk Market, kami dibawa ke Hotel Burcman untuk penginapan.
Selepas makan malam, kami berehat di bilik dan terus tidur.
Tamat aturcara hari kedua.
ATURCARA LAWATAN
Sila klik ...- 19-20 Mac 2013 - Hari Pertama dan Ke-2
- 21 Mac 2013 - Hari Ke-3 (Bhg. 1)
- 21 Mac 2013 - Hari Ke-3 (Bhg. 2)
- 22 Mac 2013 - Hari Ke-4
- 23 Mac 2013 - Hari Ke-5
- 24 Mac 2013 - Hari Ke-6
- 25-26 Mac 2013 - Hari Ke-7 dan Hari Terakhir
LINK
Comments