KEHADIRAN kami di pejabatnya pada lewat petang Khamis lalu disambut dengan sekuntum senyuman. Gaya korporatnya masih terserlah meskipun telah melewati waktu pejabat. Susun atur meja dan gambar tidak banyak berubah, sama seperti kunjungan penulis kira-kira tiga tahun lalu ke situ. “Apa khabar anda semua?” sapa tokoh tersohor itu lalu berjabat tangan dengan kami. Reaksi positif itu sebenarnya begitu melegakan. Secara jujurnya, penulis sangat berterima kasih kepada Tan Sri Samsudin Osman atas kesediaannya ditemu bual. Penulis difahamkan jadual hariannya sangat padat. Lebih-lebih lagi, beliau dan pasukannya pada ketika itu sedang bertungkus-lumus untuk sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011.