SEJAK Restoran Lucky di Ipoh, Perak beroperasi hampir tiga dekad lalu, masakan berasaskan ikan kerapu antara sajian yang sering menjadi buah mulut pelanggan. Selain digoreng cili kering, stim, sup dan tiga rasa, kerapu disajikan istimewa bersama lebih 10 jenis bubur dan mi termasuk mi wantan dan mi udon. Dua bulan lalu, restoran itu meraih perhatian rakyat Malaysia apabila menyajikan seekor ikan kerapu gergasi yang boleh dinikmati oleh lebih 400 orang. Ikan kerapu sepanjang 2.5 meter dan seberat 148 kilogram itu dibeli pengusaha restoran itu pada harga RM8,000 daripada seorang nelayan yang berjaya menangkap ikan gergasi itu di Pantai Remis. Ikan kerapu gergasi itu adalah yang kedua terbesar selepas ikan spesies sama seberat 170 kilogram (kg) yang diperoleh daripada nelayan sama kira-kira tiga tahun lalu.