'Salamat Takka Ni Sampulna' - dalam bahasa Bajau tempatan bererti 'Selamat Datang Ke Semporna'. Selamat Datang ke Semporna. Setanding maksudnya dalam bahasa Melayu dan Bajau, ianya 'sungguh sempurna' sekali.
Daerah Semporna terletak pada bahagian pantai timur Negeri Sabah, Malaysia. Ia mengandungi lebih 40 kepulauan yang indah dikelilingi oleh laut yang biru kehijau-hijauan. Semporna merupakan daerah terletaknya PULAU SIPADAN, MATAKING, MABUL dan KAPPALAI yang terkenal kepada pencinta samudera kerana kekayaan marin dan hasil lautnya.
Lebihkurang 1 jam perjalanan udara daripada Bandaraya Kota Kinabalu dan anda akan sampai ke Lapangan Terbang Tawau. Dari situ, anda cuma perlukan 1 jam lagi untuk sampai ke daerah cantik ini. Di pekan Semporna, anda akan melihat percampuran pelbagai budaya, bahasa dan bangsa - Bajau, Suluk, Melayu, Cina, Kadazan dan 'Palauh' hidup harmoni sejak dahulu lagi.
Mengikut sejarah, 'Tong Talun' adalah merupakan nama asal bagi daerah Semporna yang bererti "Hujung Hutan" dalam istilah Suku Kaum Bajau. Orang yang bertanggungjawab untuk menamakan Tong Talun ialah Panglima Uddang, Panglima Sallehangni dan Panglima Sakti dari keturunan Bajau Kubang. Ini kerana pada ketika itu daerah Semporna diliputi/diselubungi oleh hutan belantara di awal penemuannya. Kemudian, Tong Talun telah ditukar dengan nama SEMPORNA yang membawa pengertian "Tempat Yang Aman atau Damai" sehinggalah sekarang.
Dari jauh kelihatan pulau-pulau peranginan yang berbalam seolah-olah terapung dipermukaan laut. Terdapat 49 pulau keseluruhannya yang menjadi tapak kepada 119 kampung orang-orang tempatan. Apabila anda mengalihkan pandangan ke arah samudera, ia bagaikan lukisan, kelihatan air laut sejernih kristal yang bertukar dari hijau zamrud ke hijau tua, dari biru muda ke biru tua. Dasar lautnya jelas kelihatan dengan terumbu karang, ikan-ikan berwarna-warni dan pasir halus memutih bagai melambai-lambai perasaan anda untuk sama-sama terjun menikmati keindahan alam semulajadinya.Daerah Semporna menempatkan Pulau Sipadan yang terkenal kepada penyelam dalam dan luar negeri. Ramai ahli samudera dan penyelam professional datang saban tahun untuk meneroka keindahan lantai lautnya. Kehidupan marin di sini adalah pelbagai, dari hidupan mikro ke kerang gergasi, dari ikan buran ke jerung harimau dan dari udang geragau ke 'lobster' menjadi sebab mengapa penyelam ini datang ke mari. Tarikan lain seperti dinding dan gua melengkapkan lagi penerokaan bawah laut anda. Pulau peranginan lain yang terkenal ialah Pulau Mabul, Kapalai, Mataking dan Sibuan.
Sumber Daerah SempornaLINK
Comments
LF tak pernah sampai ke Semporna. Pulau Sipadan yang sangat indah itu khabarnya tak jauh dari Semporna. Teringin sangat nak ke pulau tersebut. Tak tahulah bila agaknya.