ZIARAH KUBUR SEBELUM TERBENAM MATAHARI PADA HARI TERAKHIR RAMADHAN
Menziarahi kubur pada hari terakhir Ramadhan sebelum terbernam matahari dan memohon keampunan untuk ahli-ahlinya (dan bukan menziarahi selepas solat sunat aidilfitri).
PERMULAAN AIDILFITRI
Sejarah hari perayaan sebenarnya telah bermula sebelum kedatangan Islam. Ketika Madinah Al-Munawarrah bernama Yathrib, ia sudah menyambut perayaan. Menurut Anas ra, tatkala Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, Baginda telah menukarkan dua perayaan dengan dua perayaan yang jauh lebih baik, iaitu Aidilfitri (Hari Raya Puasa) dan Aidiladha (Hari Raya Haji atau Korban). Hadis dan riwayat sahabat menceritakan cara Rasulullah menyambut kedatangan Aidilfitri, antaranya:
1) Membanyakkan bacaan takbir
Sejak malam hari Aidilfitri sehingga imam datang untuk memulakan solat pada hari raya, umat Islam disunatkan memperbanyak bacaan takbir, sebagai maksud firman Allah s.w.t:
“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)
Menurut Umar ra dan Ibnu Mas’ud r.a bahawa bacaan takbir yang lazim dibaca Rasulullah adalah:
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illalahu Wallahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahil-Hamd.
2) Saat akhir zakat fitrah dan sedekah
Zakat fitrah adalah suatu tanggungjawab sosial yang diwajibkan ke atas setiap umatIslam sekali setahun pada bulan Ramadan.
‘Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah, segantang daripada tamar atau segantang daripada gandum ke atas setiap hamba, lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan ke atas orang tua daripada kaum Muslimin.’ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini secara tersirat mendorong kita menunaikan zakat sepanjang Ramadan dan sebelum solat Aidilfitri dan memperbanyak sedekah pada hari raya.
3) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat aidil fitri
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
4) Jamah makanan sebelum ke masjid
Ketika Ramadan berlalu dan Aidilfitri tiba, umat Islam telah kembali dibolehkan makan dan minum pada siang hari.
“Rasulullah saw memakan beberapa biji kurma sebelum Baginda berangkat ke tempat solat hari raya”, menurut Anas ra (Hadis riwayat Bukhari).
Ertinya, usahlah makan terlampau banyak sehingga menyusahkan diri sendiri, terutama ketika mendirikan solat. Juga, kita tidak digalakkan memakan makanan yang pedas-pedas.
Dari segi kesihatan, perut kita baru saja berehat dan tidak perlu disogokkan makanan yang tidak sesuai atau berlebihan. Mentelah, Rasulullah ada menegur sahabat yang berperut gendut (buncit atau gemuk).
5) Berpakaian cantik untuk menunaikan solat
Rasulullah s.a.w sentiasa berpakaian baru, kemas dan indah ketika melaksanakan sembahyang Aidilfitri. Sebelum itu, Baginda selalu mandi terlebih dahulu dan kemudian memakai sedikit wangi-wangian, menurut riwayat Ibnu Qayyim al-Jauziyah.
6) Bersolat hari raya secara berjemaah.
Rasululllah saw sentiasa melaksanakan solat hari raya secara berjemaah di padang atau lapangan terbuka. Ini akan memberi kemudahan dan kesempatan kepada kaum wanita yang tidak dapat menunaikan solat hari raya kerana uzur untuk mendengar pesanan dan nasihat Rasulullah saw yang disampaikan melalui khutbah hari raya.
Sayidina Jabir bin Abdullah r.a mengisahkan:
“Saya telah bersama Rasulullah saw dalam majlis solat hari raya. Baginda memulakan solat sebelum berkhutbah tanpa didahului oleh azan dan iqamat. Setelah selesai solat, Baginda langsung bangun dengan tiada berpaut kepada Sayidina Bilal lalu berkhutbah menyeru umatnya takut dan bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan pelbagai suruhan-Nya dan meninggalkan semua larangan-Nya.
Seterusnya, Baginda memberi beberapa nasihat dan teguran kepada majlis hari raya itu. Kemudian, Baginda berjalan ke tempat solat kaum wanita sambil memberi beberapa nasihat dan teguran.”
7) Pergi dan balik dari tempat solat hari raya melalui jalan yang berbeza
Tatkala pergi dan balik dari tempat solat hari raya, Rasulullah sentiasa pergi dan balik melalui jalan yang berlainan, menurut Jabir r.a (Hadis riwayat Bukhari).
Apakah sebab Rasulullah berbuat demikian?
Tujuan beliau tentulah dapat bertemu dengan lebih ramai orang yang berbeza. aginda bersalam-salaman, memohon maaf zahir dan batin.
8) Membawa isteri dan anak-anak ke tempat solat hari raya
Ketika melaksanakan solat hari raya, Rasulullah saw sentiasa membawa serta isteri dan anak-anaknya. Isterinya, Siti Aisyah r.a, mengisahkan:
“Kami disuruh supaya keluar dan begitu juga dengan wanita haid pada kedua-dua hari raya untuk mendapatkan kebaikan dan doa orang-orang Islam. Walau bagaimanapun, wanita haid duduk jauh dari tempat sembahyang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
9) Berbalas salam dan mendoakan antara satu sama lain
Apabila bertemu, para sahabat Rasulullah sentiasa memberi dan menjawab ucapan salam hari raya dengan berkata: Taqabbalallahu Minna wa Minkum (Semoga Allah menerima segala kebaikan kami dan kebaikan kamu). (Hadis riwayat Ahmad).
Comments