BERZIKIR kepada Allah adalah amalan yang terbaik dan merupakan cara yang mulia bagi seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Allah memerintahkan hamba-Nya supaya berzikir kerana dengan berzikir kita akan diberi kelebihan dan manfaat yang banyak.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
“Dengan itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.” (Surah al-Baqarah, 2: 152)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
“Dan sebutlah (nama) Tuhanmu di dalam hatimu dengan merendahkan diri dan perasaan takut, serta dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf, 7: 205)
KELEBIHAN BERZIKIR
Terdapat begitu banyak kelebihan doa dan zikir kepada kita. Maka di sini hanya menyebutkan sebahagian daripadanya yang di antaranya adalah,
1 – Meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
2 – Mengusir, menundukkan, dan menjadi pendinding daripada Syaitan.
3 – Mendekatkan diri kepada Allah. Seberapa banyak dia melakukan zikir kepada Allah, maka semakin dekatlah dia dengan Allah. Dan seberapa jauh dia lalai untuk berzikir, maka sejauh itulah jarak yang memisahkannya dengan Allah.
4 – Menjadikan kita sentiasa mengingati Allah iaitu sebagaimana firman-Nya,
“Kerana itu, iangatlah kamu kepada-Ku, niscaya Aku ingat (pula) kepadamu...” (Surah al-Baqarah, 2: 152)
5 – Zikir merupakan santapan hati dan rohani. Jika hati dan roh kehilangan makanannya, maka samalah ia dengan badan yang tidak mendapatkan bekalan zat nutriennya. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata, “Zikir bagi hati adalah ibarat seperti air dengan ikan. Maka apakah yang akan terjadi kepada ikan tersebut sekiranya ia dipisahkan dengan air?”
6 – Membukakan pintu yang luas dari pelbagai pintu ma’rifat. Semakin banyak kita berzikir, maka semakin luas pintu ma’rifat yang dibukakan.
7 – Zikir merupakan penyembuh dan penawar bagi penyakit hati. Hati yang sakit hanya dapat disembuhkan dengan berzikir kepada Allah.
8 – Zikir merupakan ibadah yang paling mudah, tetapi paling agung, mulia, dan paling besar kesannya. Antara sebabnya, gerakan lidah merupakan gerakan anggota badan yang paling ringan dan paling mudah.
ADAB BERZIKIR
1 – Mazhab asy-Syafi'e menyatakan bahawa amalan berzikir di setiap kali setelah selesai solat fardhu adalah sunnah (dianjurkan).
2 – Cara berzikir selepas solat adalah dilaksanakan dengan secara individu.
3 – Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan, cukup sekadar diri sendiri yang mendengarnya.
4 – Boleh dikeraskan bacaan sekiranya bertujuan untuk mengajar dan memberi bimbingan kepada orang lain yang mahu memperlajarinya.
5 – Tatacara mengira yang disunnahkan di dalam melaksanakan zikir adalah dengan menggunakan jari-jari tangan:
“Dari Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhuma, dia berkata: “Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam mengira bacaan tasbih (dengan jari-jari) tangan kanannya”.
“Dari Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhuma, dia berkata: “Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam mengira bacaan tasbih (dengan jari-jari) tangan kanannya”.
Wallahu a’lam bish shawwab.
Petikan dan Suntingan dari Fiqh dan Sunnah
Comments