SANYA, China 31 Okt.2010 - Remaja dari Amerika Syarikat (AS), Alexandria Mills yang bermata biru dan berambut perang muda dimahkotakan sebagai juara pertandingan Ratu Cantik Dunia 2010 setelah menewaskan lebih 100 peserta lain pada sebuah upacara gilang-gemilang di selatan negara ini.
Mills, 18, berasal dari Kentucky, di selatan AS menangis kegembiraan ketika penyandang Ratu Cantik Dunia, Kaiane Aldorino dari Gibraltar memakaikan mahkota itu di kepalanya dan memimpinnya ke singgahsana berbentuk berlian sempena menandakan ulang tahun ke-60 pertandingan itu.
Wanita cantik yang memiliki ketinggian 1.75 meter, mengenakan persalinan putih dan model profesional yang berdaftar dengan agensi Model Elite itu, melambai-lambaikan tangannya ke arah 2,000 penonton yang memenuhi Beauty Crown Theatre di bandar peranginan Sanya, di pulau Hainan.
Semasa pertandingan selama dua jam yang setiap tahun menarik minat kira-kira satu bilion penonton televisyen di seluruh dunia itu, Mills berkata, bulan yang dihabiskannya untuk melawat China dengan 114 peserta Ratu Cantik Dunia yang lain telah memberikan satu 'impak besar' dalam hidupnya.
Emma Wareus dari Botswana memenangi tempat kedua dan Adriana Vasini dari Venezuela di tempat ketiga dalam pertandingan itu yang kali pertama diadakan pada 1951.
Comments