PETALING JAYA 10 Nov. 2010 - Proton Holdings Bhd. (Proton) hari ini melancarkan model terbaharu kereta keluarannya, Proton Inspira yang diasaskan daripada model Mitsubishi Lancer.
Proton Inspira mula dijual di semua bilik pameran Proton pada harga RM78,999 bagi model 1.8 transmisi manual, RM84,999 bagi 1.8 transmisi penghantaran berubah berterusan (CVT) automatik dan RM91,999 bagi model 2.0 CVT automatik.
Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, produk terbaharu Proton didatangkan dengan dua varian enjin itu dilengkapkan dengan enjin berteknologi Mitsubishi Innovative Valve Timing Electronic Control (MIVEC).
Model tersebut didatangkan dalam empat warna iaitu Plum Red, Solid White, Genetic Silver dan Tranquility Black.
Kelebihan Inspira adalah ia dilengkapi dengan CVT dan mod penukaran gear secara manual enam kelajuan dengan sistem transmisi automatik INVECS-III (sistem kawalan elektronik kenderaan pintar dan inovasi).
Bagi model standard iaitu 1.8L manual, ia dilengkapi Sistem Membrek Anti Kunci (ABS), Edaran Tenaga Membrek Elektronik (EBD), beg udara berkembar, imobilizer dan sensor undur.
Varian Eksekutif ditambah dengan mod sport tanpa paddle shift, sementara model Premium 2.0 liter CVT dilengkapi dengan mod sport, paddle shift, auto cruise, pendingin hawa automatik, sensor automatik lampu dan pengelap cermin, kit badan, empat duduk kemasan kulit dan sistem navigasi.
Comments