Islam telah menetapkan bagi kita untuk berhari raya dua kali dalam setahun hijrah, iaitu hari raya puasa dan hari raya kurban atau haji, dalam erti kata lain Aidilfitri dan Aidiladha, kedua-dua hari raya ini ada kaitannya dengan syariah Islam.
Sejarah Islam mencatatkan setelah baginda Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda dapati orang-orang Islam Madinah merayakan dua hari raya yang mereka warisi turun temurun dari nenek moyang mereka. Maka baginda Rasulullah bersabda; kepada mereka yang bermaksud :
"Allah subhanahua ta’ala telah menggantikan kedua-dua hari raya kamu itu dengan dua hari raya yang lebih baik dari apa yang kamu rayakan itu, iaitu hari raya puasa dan hari raya kurban."
Semenjak itu kedua-dua hari raya itu dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dari setahun ke setahun sehinggalah sekarang dan seterusnya. Hakikat ini juga boleh difahami bahawa Islam melayani kehendak dan tabiat semulajadi manusia selaras dengan kenyataan dimana setiap kaum dan bangsa didunia mempunyai hari tertentu sebagai hari besar yang dirayakan oleh mereka.
Umat Islam merayakan Aidilfitri pada setiap 1 Syawal sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan. Mereka bersyukur kepada Allah atas kejayaan mereka dalam ibadah puasa sepanjang Ramadhan, kerana ibadah puasa itu merupakan suatu ibadah yang bukan mudah untuk dikerjakan oleh semua orang, melainkan kepada orang yang benar-benar beriman dan bertakwa.
Aidiladha pula sekali lagi umat Islam merayakan kemenangan tanda kesyukuran kehadrat illahi dimana kemenangan yang bukan sahaja terkandung dalam ibadah haji itu sahaja, tetapi lebih dari itu ialah mempunyai hubungan dengan suatu peristiwa yang berlaku pada tahun yang kesembilan hijrah.
Sebagai umat Islam sebenar, Rasulullah menganjurkan kepada kita untuk berhari raya seperti sabda baginda dari At-Tabrani yang bermaksud ‘ hiasilah hari raya kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan takdis (yakni mengingati dan mengagungkan Allah subhanahua ta’ala’
Takbir dan tahlil adalah tanda syukur dan tanda kemenangan sebagai umat Islam. Sebab itulah dalam apa juga acara kesyukuran atau kemenangan, maka umat Islam dikehendaki bertakbir.
Ada dua perkara utama untuk dipenuhi oleh umat Islam semasa sambutan hari raya atau bersempena dengan hari raya
Pertama – untuk memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan seorang dalam hidup bermasyarakat atau lebih dikenali dengan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Kedua – untuk membolehkan hubungan dan mempertingkatkan tanggungjawab mengawal dan memelihara kedaulatan Islam dari dicemari atau dikotori oleh fahaman dan pegangan yang diluar batas Islam atau mengikut nafsu, dan bertentangan dengan cara Al-Quran dan hadis Rasulullah . Islam jangan hanya diterima mengikut pilihan yang dirasa sesuai dengan kemahuan dan nafsu semata-mata . Islam menyuruh umatnya supaya rajin bekerja dan sentiasa menjaga kebersihan, dan ini diterima oleh masyarakat. Tetapi bila Islam mengharamkan riba’ , arak dan judi, perkara ini tidak diterima.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 85;
Maksudnya : ‘sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian dari isi kitab Taurat dan mengingkari; akan sebahagian yang lain ? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup didunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka kedalam azab siksa yang amat berat. Dan ingatlah, Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan ‘
Sementara tanggungjawab dengan Allah, iaitu kita perlu melakukan hubungan tauhid kepada Allah subhanua ta’ala menurut Ibnu Al-Qayyim Al-Jauriah. Hubungan tauhid ini dilakukan dengan kita mengesakan Allah dan jangan sekali kita melakukan syirik kepadanya. Dengan berbuat demikian maka Allah akan memberikan petunjuk kepada mereka untuk memahami agama Islam begitu juga sebaliknya.
Firman Allah dalam surah Al-An’am; ayat 125 yang bermaksud :
"maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hati) untuk menerima Islam, dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik kelangit (dengan susah payah) Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman."
Sumber : TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID SELURUH NEGERI MELAKA pada 22 DISEMBER 2000 (26 RAMADHAN 1421H)
Comments