Sekali lagi kita telah diberi kesempatan untuk menyambut Hari Kemerdekaan negara kita. Tidak ada yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat kemerdekaan ini dalam keadaan aman dan sejahtera. Satu nikmat yang tidak semua bangsa di dunia ini dapat mengecapinya walaupun mungkin mereka telah merdeka daripada cengkaman penjajahan. Justeru, kerana itu, kita seharusnya bersyukur atas nikmat kemerdekaan yang telah membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada bangsa dan negara Malaysia.
Tahun ini, kita akan merayakan kemerdekaan yang ke-53 tahun. Jika dibandingkan dengan tempoh negara kita dijajah, jangka masa 53 tahun ini amatlah pendek. Negara kita sebenarnya telah dijajah hampir 455 tahun lamanya. Setelah kejatuhan Melaka di tangan Portugis, kita kemudiannya dijajah pula oleh Belanda, British dan Jepun. Justeru itu, sambutan yang kita raikan pada kali ini seharusnya tidak terlalu mementingkan kepada perkara-perkara keseronokan semata-mata tetapi hendaklah lebih kepada pengisian yang boleh menimbulkan lebih kesedaran kepada generasi kita betapa pentingnya kemerdekaan kini dipertahankan sepertimana warga terdahulu mempertahankannya.
Kita haruslah menghayati erti kemerdekaan dengan sebenar-benarnya, seterusnya menyumbang ke arah memastikan kedaulatan kita sentiasa terjamin. Cuba kta berfikir sejenak dalam mengimbas erti kemerdekaan. Mungkin kebanyakan daripada kita amat sukar untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan berikutan sebahagian besar generasi pada hari ini merupakan generasi pasca merdeka atau lahir selepas 31 Ogos 1957. Kerana itu, adalah mustahil untuk kita semua dapat memikirkan keperitan serta kepayahan bagaimana kehidupan di zaman penjajahan dahulu dan juga bagaimana kesusahan yang dialami oleh masyarakat terdahulu untuk mendapatkan kemerdekaan tanahair yang tercinta ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menilai erti kemerdekaan dengan cara yang berbeza supaya kita dapat menghayati nilai sebenar kebebasan yang dikecapi pada hari ini.
Banyak faktor mampu menyumbang ke arah kemusnahan dan kemunduran sesebuah negara. Tambahan pula, pada masa kini, pengaruh global telah semakin rakus menyelinap masuk ke dalam budaya bangsa kita. Pendekatan secara halus inilah yang sebenarnya boleh mendatangkan kehancuran kepada kita dan seharusnya kita berusaha untuk mempunyai daya ketahanan diri yang tinggi agar kita sentiasa merdeka dalam segenap segi. Dalam masa yang sama, kita juga tidak akan terjejas oleh pengaruh global yang mungkin akan menghancurkan nilai-nilai murni bangsa kita.
Sejarah masa lampau merupakan cermin masa depan kita. Kita banyak belajar daripada apa yang telah berlaku pada masa lampau. Bangsa yang tidak mengetahui sejarah masa lampaunya tidak akan mampu membangunkan masa depannya. Justeru, kita wajar menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan yang dikemudi oleh para pejuang kemerdekaan masa dahulu supaya kita dapat menyumbang demi untuk mencapai kejayaan di masa hadapan.
Sesungguhnya, kemerdekaan ini amat besar nilai dan ertinya. Kemerdekaan adalah lambang kebebasan, kedaulatan dan kejayaan, bukan sahaja kepada negara yang tercinta ini tetapi juga kepada setiap daripada kita, warganegara yang setia dan bernaung di bawahnya. Dalam pada itu, kita seharusnya tidak mudah merasa terkilan atau kecewa atas apa jua perkara yang berlaku dalam negara yang mungkin sedikit sebanyak merugikan kita, sebaliknya kita mesti sentiasa menanamkan rasa cinta kepada negara dan menjadikannya keutamaan untuk setiap masa.
Sebagai warganegara yang hidup dalam negara yang mempunyai keamanan dan kesejahteraan hasil titik peluh rakyatnya sendiri, kita semua mempunyai peranan masing-masing. Bukan sahaja kita sebagai individu tetapi juga organisasi yang kita wakili turut tidak terkecuali dalam memainkan peranan untuk membangunkan negara.
Sempena kita menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 53 ini, kita berusaha untuk membebaskan diri kita bukan sahaja dari belenggu penjajah tetapi yang penting ialah merdeka dari sifat-sifat malas, lemah, mundur, jahil kepada sifat rajin, kuat, maju, berilmu dan beramal. Marilah kita membebaskan diri kita daripada gejala seperti kerosakan akidah, keruntuhan akhlak, kejahilan syariat kepada akidah yang mantap lagi mendalam, akhlak yang baik lagi terpuji, faham syariat dan memperjuangkannya. Dengan demikian akan terserlahlah erti kemerdekaan yang sebenar, lahirlah generasi soleh dan negara turut makmur.
Comments
Kita sama2 meraikannya. Semoga tahun2 mendatang, negara akan lebih gemilang dan terbilang dalam segala segi