Tiga terbunuh manakala 18 lagi peniaga cedera dalam kejadian ribut taufan di Bazar Ramadan Stadium Jasin di sini, pada hari kedua umat Islam berpuasa . Kawasan bazar Ramadan itu musnah sama sekali dengan pelbagai makanan bertaburan di atas jalan seperti baru dilanda taufan. Kejadian pada pukul 4.45 petang itu berlaku ketika semua mangsa sedang sibuk membuat persiapan untuk memulakan perniagaan.
Apa yang pasti keadaan yang berlaku ini tentu akan membuatkan kita berduka. Sebagai seorang muslim, memang sewajarnya kita berduka di atas korban yang terjadi. Hanya iringan doa dan ucapan, “Innâ lillâh wa innâ ilayhi râji‘ûn (Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kita akan kembali kepada Allah)” yang paling layak kita ucapkan sebagai peringatan kepada diri sendiri akan kekerdilan kita sebagai makhluk ciptaan-Nya. Marilah kita merenung kembali kepelbagaian ‘musibah’ yang ada untuk kita lebih mendekatkan diri Kepada-NYA.
Semua manusia di muka bumi ini dalam apa peringkat sekalipun tidak terlepas daripada ujian Allah. Raja diuji, rakyat diuji, orang besar diuji, orang kecil diuji, orang perempuan diuji, orang lelaki diuji, orang jahat diuji, orang baik-baik pun diuji. Semua manusia tidak akan dapat mengelakkan diri mereka daripada diuji.
Musibah Sebagai Ketentuan Allah
Kita seharusnya menyedari bahawa segala musibah seperti gempa bumi, banjir, tsunami, ribut taufan, kemarau dan sebagainya, memang merupakan peristiwa alam ‘biasa’ yang sering melanda umat manusia. Musibah seumpama ini sebahagiannya merupakan suatu fenomena alam yang telah menjadi qadhâ’ (ketentuan) Allah, yang menunjukkan bahawa Allah SWT Maha Kuasa. Allah SWT berfirman:
“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada diri kalian sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah SWT”
Surah al-Hadid (57) : 22]
Musibah Sebagai Ujian Allah
Akan tetapi, boleh jadi, musibah seumpama ini merupakan ‘ujian’ dari Allah SWT untuk menguji tahap kesabaran dan sejauh mana tahap ketakwaan manusia. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” [Surah al-Baqarah (2): 155- 156].
Anggaplah ini sebagai ‘cubaan’ dan ‘ujian’ dari Allah SWT untuk menguji kesabaran dan ketaqwaan kita. Kita seharus yakin bahawa Allah SWT senantiasa mencintai orang-orang yang sabar serta menjauhkan diri dari sikap berputus asa dan mengembalikan seluruh urusan tersebut kepada Allah SWT.
Musibah Sebagai Peringatan Allah
Sementara itu, sebahagian musibah lainnya adalah akibat tangan-tangan manusia yang senantiasa gemar melakukan kerosakan di muka bumi ini. Musibah seumpama ini lebih merupakan ‘peringatan’ bagi umat manusia baik yang mukmin mahupun yang kafir yang selama ini melanggar perintah Allah SWT agar mereka kembali ke jalan-Nya. Allah SWT berfirman:
“Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia,supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Surah ar-Rum (30): 41].
"Siapa sahaja yang berpaling dari peringatan-Ku (al-Quran), maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta” [Surah Thaha (20): 124].
Sebagai penutup :
“Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal” [Surah at-Taubah (9): 51].
"Demi Masa, Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, dan beramal soleh, dan saling berpesan-pesan kepada kebenaran yang Haq, dan saling berpesan-pesan kepada kesabaran.” (Surah Al-Ashr, ayat 1-3)
Comments
Salam takziah kepada keluarga yang terlibat dan rasa simpati LF kepada mereka yang cedera. LF percaya apa yang berlaku ada hikmahnya. Allah maha mengetahui. Elok juga bermuhasabah diri !