Penyalah-gunaan dadah di negara kita adalah satu masalah yang serius, kerana ianya melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, taraf hidup dan kedudukan, sehingga menjejaskan juga kakitangan Kerajaan yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan dan penguat-kuasaan undang-undang negara. Sungguhpun segelintir sahaja yang dikatakan terlibat, tetapi ianya cukup untuk membimbangkan kita, tambahan pula dengan penglibatan golongan muda yang diharapkan akan mengambil alih masa hadapan negara ini. Kerajaan, tidak dapat tidak, terpaksa mengisytiharkan masalah penyalah- gunaan dadah di negara ini sebagai satu masalah keselamatan.
Sedutan ucapan TUN DR. SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD. ALI pada PERASMIAN SEMINAR PENGLIBATAN IBU BAPA DALAM PENYALAHGUNAAN DADAH di TANJUNG BIDARA BEACH RESORT, MELAKA pada 22-11-1986
Sedutan ucapan TUN DR. SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD. ALI pada PERASMIAN SEMINAR PENGLIBATAN IBU BAPA DALAM PENYALAHGUNAAN DADAH di TANJUNG BIDARA BEACH RESORT, MELAKA pada 22-11-1986
Berita 21 Ogos 2010
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bagai dirasuk syaitan apabila cuba membakar ibu, ayah dan kakaknya dengan menyimbah petrol kepada mereka bertiga selepas permintaannya untuk mendapat wang RM100 tidak dipenuhi. Tidak cukup dengan itu, anak durjana berusia lewat 20-an terbabit turut mengugut akan merogol kakaknya yang berusia 30 tahun di hadapan ibu bapanya jika mereka masih enggan memenuhi permintaannya.
Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi kelmarin di sebuah rumah di Segambut di sini, sejurus lelaki itu pulang ke rumah dan mengamuk secara tiba-tiba. “Dia (suspek) mula memecahkan barangan di dalam rumah menyebabkan ibu dan bapanya memarahinya. Namun, lelaki itu ketawa apabila dimarahi sebelum meminta RM100 daripada ibunya. “Apabila ibunya memberitahu tiada wang sebanyak itu untuk diberikan kepadanya, dia menjadi semakin ganas. Seperti orang hilang akal dia mengugut untuk membunuh ahli keluarganya iaitu ibu dan ayahnya, serta kakaknya berusia 30 tahun,” katanya.
Menurutnya, lelaki dipercayai penagih dadah itu keluar rumah seketika sebelum kembali dengan membawa petrol yang disimbah ke tubuh ibu, ayah dan kakaknya sebelum mengugut membakar mereka hidup-hidup.
Sumber : Harian Metro
Sumber : Harian Metro
Berita 16 Ogos 2010
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang terlalu marah terhadap isterinya kerana menuntut cerai bertindak menyimbah cuka getah ke muka wanita itu dan dua anaknya dalam kejadian amuk di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, anak suspek, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8, melecur pada muka dan badan manakala isterinya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, melecur belakang badan dan sebahagian lehernya.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata seorang lagi anak suspek, Muhammad Irfan Firdaus, 2, melecur pada muka dan badan, manakala ibu mentua, Minah Omar, 56, cedera ringan pada mata kiri.
“Siasatan awal mendapati suspek, Mat Haizan Mat Yasin, 32, yang disyaki seorang penagih dadah dan tidak bekerja, marah dengan isterinya yang bekerja sebagai penjual sayur di pasar di Kuala Berang, kerana menuntut cerai.
“Mereka masih pasangan suami isteri, tetapi sudah tidak tinggal sebumbung sejak lima bulan lalu. Mangsa (Che Ku Zaimah) membawa empat anak mereka berusia antara 10 dan dua tahun berpindah ke rumah ibunya di Kampung Sekayu.
“Bagaimanapun, suspek dikatakan sering ke rumah ibu mentuanya untuk meminta wang daripada mangsa,” katanya.
Katanya, keempat-empat mangsa kecuali Minah yang dibenarkan pulang, masih dirawat di Unit Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), manakala dua daripada mangsa iaitu Che Ku Zaimah dan anaknya Nurul Dahyatul tidak mampu bercakap kerana melecur teruk.
Manoharan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serius dan polis kini memburu suspek.
Sementara itu, Minah berkata, menantunya datang ke rumahnya awal pagi semalam untuk meminta wang RM30.
Bagaimanapun, katanya anaknya enggan memberi wang berkenaan menyebabkan menantunya itu berang dan menendang pintu rumah.
“Sebelum ini, menantu saya memang pernah mengugut untuk menyimbah asid di muka anak saya apabila menuntut bercerai, tetapi anak saya tidak ambil peduli sehingga kejadian ini berlaku.
“Sepanjang pengetahuan saya, menantu saya bukan saja pernah menampar isterinya apabila berlaku pergaduhan, malah pernah menyimbah cat rumah ke atas kepalanya, selain mencederakannya dengan api rokok.
“Menantu saya tidak bekerja dan hanya tahu meminta wang daripada anak saya yang menjual sayur di pasar, menyebabkan dia tidak tahan dengan kerenah suaminya itu dan pergi ke pejabat agama untuk menguruskan perceraian,” katanya
Sumber : Berita Harian
Sumber : Berita Harian
Comments