Skip to main content

PERJALANAN UMRAH 2023


Persediaan

Dua bulan sebelum perjalanan menunaikan umrah, kami telah merisik beberapa agen-agen yang mengendalikan Pakej Umrah. Kami memilih pakej Syarikat Andalusia, pakej ini selama 13 hari bermula pada 15 Januari 2023 hingga 27 Januari 2023. Pakej Umrah ini, kita akan masuk Mekah dahulu kemudian pulang dari Madinah. Mutawif yang akan membimbing kami di sana nanti  adalah Ustaz Muhammad Ibrahim bin Mohd Naim. Saya pergi berseorangan, isteri tidak sertai tetapi dengan bersama-sama rakan yang lain. Jumlah semua jemaah adalah 48 orang termasuk mutawif.


Memastikan paspot masih sah untuk 6 bulan ke hadapan dan tiada sekatan perjalanan oleh pihak Imigresen. Kita boleh buat semakan di link  Semakan Perjalanan. Walau pun pakej yang diambil ini termasuk makan dan minum, wang sagu masih perlu disediakan untuk kegunaan apabila diperlukan nanti di Tanah Suci. Kadar tukaran wang pada masa ini adalah SR1.0 Riyal = RM1.27. 

Biasanya pihak syarikat telah membuat tempahan untuk kita memasuki Raudhah, sekali sahaja. Jika pihak jemaah ingin memasuk kali kedua dan seterusnya, jemaah perlu membuat tempahan sendiri melalui aplikasi yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Arab Saudi iaitu Nusuk. Aplikasi  ini boleh dimuat-turun melalui play store/apple store mengikut peranti telefon bimbit kita sebelum kita berangkat ke sana lagi. Sebelum membuat tempahan, perlu mendapat pengesahan mutawif dahulu, takut-takut tarikh yang kita pilih bertembung dengan program/aktiviti yang telah dirancangkan.

Kelebihan Mengerjakan Umrah

Terinjaknya kaki di Tanah Suci, Mekah dan Madinah, seolah-olah mengajak diri kita kembali menghayati sirah Nabi Allah SWT.

Sebenarnya memang banyak hadis-hadis yang membicarakan tentang kelebihan umrah. 

Dalam riwayat Al-Bukhari, Rasululluh SAW telah bersabda yang bermaksud : "Satu ibadah umrah sehingga sampai umrah lainnya adalah sebagai pelebur (dosa) di antara keduanya. Sedang haji yang mabrur tidak mempunyai balasan kecuali syurga"

Keberangkatan dan Niat Ihram

Kami telah memilih pakej umrah yang bermula di Mekah dan tamat di Madinah. Kami dinasihati mandi sunat ihram di rumah dan bersiap memakai ihram sebelum manaiki kapal terbang. Kami diingatkan juga tidak berniat ihram lagi.

Penerbangan dari KLIA jam 07.00 malam menggunakan pesawat MAS, MH156 dan dijangka tiba di Lapangan Jeddah jam 11.30 malam (waktu Arab Saudi). Kami akan berniat umrah di miqat Qarnul Manazil ketika berada di dalam pesawat nanti iaitu lebih kurang satu jam sebelum pesawat mendarat di Jeddah. Qarnul Manazil adalah miqat bagi jemaah Malaysia dan Asia Tenggara yang datang dengan menaiki kapal terbang.

MAKKAH

Umrah Pertama

Setiba di Jeddah, kami menaiki bas dan dibawa terus ke hotel penginapan di Makkah. Keesokannya selepas sarapan, kami dibawa untuk melaksana Tawaf dan Saie serta bertahalul, Selesai kerja-kerja umrah jam 11.30 pagi.

Masjidil Haram

Masjidil Haram adalah masjid yang terpenting bagi umat Islam kerana sejarah dan peranannya terhadap umat Islam seluruh dunia. Masjid ini terletak di Kota Makkah dan dibina mengelilingi Kaabah, iaitu Kiblat umat Islam apabila mengerjakan solat.

Maksud Hadith : “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain. [Riwayat Ahmad (15271)]

Ziarah Luar Makkah

Salah satu jadual pakej umrah adalah menziarahi tempat-tempat sejarah dan ibadat haji di luar kota Makkah. Kali ini jemaah dibawa melawat dan melihat dari dalam bas seperti Masjid Namirah, Bukit Korban Mina, Masyaril Haram (Mudzalifah) dan Jamarat. 

Menyelusuri sejarah Masjid Namirah, ia dibina pada zaman kerajaan Abbasiyah sekitar abad kedua Hijrah. Tapak masjid ini dipercayai tempat singgah Nabi Muhammad s.a.w berehat sebelum menuju ke tengah Padang Arafah. Masjid Namirah pastinya menjadi kawasan tumpuan bagi jemaah haji yang berada di Mina. Hingga sekarang, masjid ini menjadi tempat penyampaian khutbah haji pada setiap musim haji.

Bukit Korban Mina adalah satu kawasan di mana haiwan ternakan yang disembelih sebagai dam, korban atau sedekah.

Masyaril Haram (Mudzalifah) adalah tempat dimana kebanyakan jemaah haji yang mabit di sini untuk beristirahat, berzikir dan mengumpulkan batu kerikil di tempat ini yang nantinya digunakan untuk melempar jumrah di Jamarat Mina. 

Jamarat yang menjadi tempat jemaah haji melontar anak batu sebagai sebahagian daripada amalan Wajib Haji. Disini terdapat tiga Jamarat iaitu Jamrah Sughra, Wusta dan Kubra.

Jabal Thur

(bersama mutawif)

Jabal Thur terletak di bahagian selatan Masjil Haram. Bukit ini terkenal atau sinonim dengan Gua Thur di mana gua ini tempat Nabi Muhammad s.a.w bersama Saidina Abu Bakar  a.s bersembunyi ketika dalam perjalanan keluar daripada Mekah untuk berhijrah ke Madinah.

Jabal Rahmah (Arafah)

Di sinilah kawasan pertemuan Nabi Adam dan isteri baginda, Siti Hawa selepas sekian lama berpisah sebaik mereka dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke muka bumi. Bertahun-tahun mereka berdua memohon keampunan dan bermunajat kepada Allah SWT sebagaimana terakam dalam al-Quran.

Jabal Rahmah sebenarnya berada di lingkungan yang sama dengan Padang Arafah dan di sinilah juga baginda mendapat wahyu yang cukup ‘memilukan hati’ sahabat, khususnya Saidina Abu Bakar dan Umar al-Khattab kerana mereka mengerti makna tersirat di sebalik turunnya wahyu tersebut iaitu petanda bahawa baginda akan meninggalkan mereka menemui Allah SWT.

Masjid Ja'ranah

Setelah ziarah Jabal Thur, Jabal Rahmah dan tempat-tempat ibadah Haji, singgah di Masjid Ja'ranah untuk miqat umrah kedua.

Ziarah Taif

Hari keempat berangkat melawat dan menuju ke Taif. Salah satu pakej diperkenalkan oleh kebanyakan Agen Umrah. Mengikut jadual, di Taif jemaah akan melawat Kilang Ros/Mawar, Masjid Abdullah bin Abbas dan menikmati Makanan Nasi Arab Taif. 

Taif, bandar kecil yang terletak di bahagian barat Arab Saudi menjanjikan udara nyaman dan dingin. Perjalanan ke Taif  dari kota suci Makkah mengambil masa kira-kira satu setengah jam dengan menaiki bas.

Mengikut sirah, perjalanan dakwah Rasulullah S.A.W di Taif bermula setelah mendapat tentangan hebat daripada kaum Quraisy. Ketika itu, Rasulullah dirundung duka setelah bapa saudaranya, Abu Talib dan isteri tercinta, Khadijah R.A. kembali ke rahmatullah. Rasulullah ditemani Zaid Haritsah,  menuju ke Thaif. Baginda Rasul menyangka penduduk Taif dapat menerima kehadiran beliau tetapi tanpa disangka mereka menolak serta mencemuh baginda Rasul. Akhirnya, Rasulullah kembali ke Makkah dan seterusnya berhijrah ke Madinah.

Kilang Wangi Mawar/Ros

Sektor pertanian Taif terkenal dengan penanaman bunga ros/mawar. Musim bunga mawar bermula pada awal Mac dan berlangsung selama 40 hingga 60 hari. Iklim yang sederhana di rantau Taif menyediakan keadaan yang ideal untuk menanam bunga mawar yang terkenal. Mawar yang dipilih dengan teliti kemudian diangkut ke kilang mawar yang menyaring kelopak menjadi minyak mawar (attar) dan air mawar yang digunakan untuk menghasilkan rangkaian produk seperti pewangi, losyen, sabun dan banyak lagi. Air mawar biasanya digunakan di seluruh rantau Teluk dalam minuman seperti teh dan kopi serta makanan.

Tempat ini masih dalam pembangunan.

Dalam lawatan ini, jemaah diberi taklimat bagaimana minyak dan air mawar dihasilkan.

<klik untuk mendengar taklimat>

Pasar Buah Taif

Pasar buah di Taif menjual buah-buahan beraneka jenis dan warna. Taif terkenal dengan buah-buahan yang segar disebabkan cuaca Taif yang dingin membuatkan kawasan itu ideal untuk menanam buah-buahan.

Sebelum ini, jemaah akan berhenti di gerai tepi jalan yang menjual buah-buahan segar Taif. Tetapi tempat tersebut telah dirobohkan. Sekarang mereka menjual di sekitar hadapan Masjid Abdullah bin Abbas.

Masjid Abdullah bin Abbas

Masjid Abdullah bin Abbas atau Masjid Ibnu Abbas merupakan salah satu peninggalan sejarah Islam di kota Thaif. Masjid besar ini dibangun pada 592H. Dinamakan Ibnu Abbas kerana tempatnya di samping makam Ibnu Abbas. Ibnu Abbas terkenal sebagai  periwayatan hadis.

Jemaah terlalu ramai ketika kami sampai ke sini, tidak kesampaian untuk bersolat sunat.

Makan Nasi Arab Taif

Selesai lawatan, jemaah dibawa ke sebuah restoran masakan nasi arab Taif. Nasinya memang sedap, mesti cuba jika menikuti ziarah ke Taif.

Terlupa pula nak ambil gambar masakan tersebut.

Masjid Qarnul Manazil

Disini merupakan tempat miqat jemaah umrah/haji Malaysian yang terus ke Mekah semasa dalam flight. Disini juga letaknya miqat bagi jemaah umrah dan haji yang datang dari arah timur kota Makkah. Termasuklah dari Riyadh, Najd, Taif dan Pakistan.

Dalam perjalanan pulang ziarah luar kota Makkah, singgah di Masjid Qarnul Manazil untuk jemaah miqat yang ingin membuat Umrah. Disini juga letaknya miqat bagi jemaah umrah dan haji yang datang dari arah timur kota Makkah, termasuklah dari Riyadh, Najd, Taif dan Pakistan.

Bergerak Menuju Madinah

Selepas membuat tawaf wida', kami bersiap-siap untuk berangkat menuju ke Madinah.

Taklimat ringkas disampaikan oleh mutawif kami, kenapa kita perlu menziarahi Madinah.

<klik untuk mendengar takzirah>

Jarak perjalanan darat menaiki bas dari Makkah ke Madinah adalah kira-kira 424km dan mengambil masa sekitar 6 jam perjalanan. Difahamkan sekiranya menaiki Haramain High Speed Railway mengambil masa sekitar 2 jam perjalanan.

Dalam perjalanan ke Madinah, kami berhenti di RnR untuk berehat, solat dan menikmati makanan berlaukkan masakan ikan istimewa. Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Madinah dan kami sampai waktu maghrib.

MADINAH

Madinah ialah kota paling suci yang kedua bagi umat Islam selepas Makkah dan sebelum Baitulmuqaddis. Hal ini adalah kerana di Madinah terletaknya Masjid an-Nabawi yang mana terdapat makam Nabi Muhammad. Kawasan itu dibina di atas tapak rumah Nabi Muhammad. Madinah pada asalnya bernama Yathrib tetapi selepas peristiwa hijrah, namanya diubah kepada Madinat Al-Nabi (Kota Nabi) ataupun Al Madinah Al Munawwarah (Kota yang bercahaya) sementara perkataan Madinah bermaksud "bandar/kota".

 Solat di Masjid Nabawi mempunyai kelebihan yang amat besar dan tersendiri.

Ziarah Sekitar Masjid Nabawi


Sebelum jemaah memulakan ziarah sekitar Masjid Nabawi, mutawif memberi penerangan ringkas tempat-tempat yang akan dilawati. Kali ini jemaah akan dibawah melawati sekitar kawasan Masjid Nabawi iaitu Saqifah Bani Saedah, Masjid Al-Ghamamah, Masjid Abu Bakar dan Masjid Ali.

Saqifah Bani Sa'idah

Saqifah Bani Sa'idah, atau secara ringkas Saqifah, merupakan bangunan beratap di Madinah yang digunakan oleh Bani Sa'idah, sebuah suku Khazraj. Asalnya rumah kepada keluarga Bani Saidah yang dibina dengan pelepah tamar dan lumpur batu. Bangunan ini merupakan salah satu tempat penting dalam sejarah Islam kerana ia merupakan tempat berkumpul para sahabat untuk melantik khalifah setelah kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.


Setelah peredaran zaman, perkampungan di kawasan ini kemudiannya ditinggalkan dan sempat dibina bangunan sebelum akhirnya dijadikan taman yang menghadap dinding sebelah barat bangunan Masjid Nabawi hasil dari pembesaran kawasan Masjid Nabawi.

Masjid Al-Ghamamah



Masjid al-Ghamamah yang terletak di bahagian barat daya, 500 meter jauhnya dari Masjid Nabawi merupakan salah satu tapak bersejarah terkenal di Kota Madinah. Masjid ini dikenali sebagai tempat terakhir Nabi Muhammad sembahyang hari raya dan sembahyang sunat istisqa’ (meminta hujan).

Masjid Abu Bakar Siddiq


Masjid Abu Bakar Siddiq, merupakan salah satu dari tiga masjid tua bersejarah di barat daya atau sebelah timur bagian selatan Masjid Nabawi. Sesuai dengan namanya, masjid tersebut dahulunya merupakan rumah kediaman Abu Bakar Ash-Shiddiq RA., salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW.

Raudhah, Maqam Rasulullah dan Para Sahabat 


Raudhah

Raudhah adalah sebuah tempat yang berada dalam Masjid Nabawi di Madinah. Tepatnya berada di antara rumah yang kini jadi makam Rasulullah SAW dengan mimbar yang beliau gunakan untuk berdakwah. Luasnya lebih kurang  330 meter persegi.

Maksud hadith : "Tempat yang terletak di antara rumahku dan mimbarku adalah salah satu di antara taman-taman surga." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketika menjadi tetamu di taman syurga ini, kita sangat digalakkan untuk memperbanyakkan berdoa di kawasan Raudhah kerana terdapat banyak keistimewaan disebaliknya yang pasti menjadi saksi kepada perjuangan Baginda SAW.

Makam Nabi

Makam Nabi Muhammad SAW adalah salah satu tempat yang diyakini sebagai tempat paling mulia di bumi oleh umat Muslim. Makam Nabi Muhammad SAW berada di dalam Masjid Nabawi, Madinah, Arab Saudi. Dahulu tempat ini adalah kamar beliau dan isterinya yakni Aisyah binti Abu Bakar Ash-Shiddiq RA.

Perkuburan Baqi'



Perkuburan Baqi dikenali juga dengan Jannatul Baqi’ atau Baqi’ Al-Gharqad. Perkuburan ini berada di dalam kawasan Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawarah, sebelah tenggara yang memiliki luas 174.962 meter. Di tempat ini dimakamkan anggota keluarga dan 10.000 sahabat Nabi Muhammad.

Ziarah Luar Madinah

Dalam perjalanan ziarah luar Madinah, kami hanya melihat dari dalam bas, Masjid Ijabah, Masjid  Bilal, Masjid Jumaah, dan Masjid Qiblatin.

Masjid Quba

Antara tempat penting yang perlu diziarahi ketika berada di Madinah adalah mengunjungi Masjid Quba.

Masjid Quba ialah masjid pertama yang dibina oleh orang Islam. Masjid ini terletak di Kota Madinah kira-kira dua batu daripada Masjid an-Nabawi. Masjid ini diasaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W.  sebelum baginda tiba di Madinah ketika berhijrah dari Makkah. Masjid Quba memiliki 56 kubah dan 4 menara di sudut-sudut ruang sholat. Masjid ini memiliki kapasiti untuk 20.000 jemaah.


Semasa hayatnya, Nabi Muhammad kerap mengunjungi Masjid Quba dan menunaikan solat sunat.

Maksud hadith : "Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan solat di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah." (Riwayat Tirmizi)

Ladang Kurma


Selepas menziarahi Masjid Quba, jemaah dibawa melawat ladang dan pasar kurma. Bermacam-macam jenis kurma  dan terdapat di sini. Selain itu terdapat juga coklat dan kekacang dijual di pasar ini.

Masjid 7 / Medan Perang Khandak

Masjid Tujuh terletak di sisi barat bukit Sila’ tepatnya di bagian lokasi Khandaq (parit) yang digali oleh kaum muslim pada zaman Nabi SAW sebagai strategi mempertahankan kota Madinah dari kepungan tentara quraisy dan berbagai suku lain yang menyertainya. Peristiwa tersebut terjadi pada tahun 5 hijriyah. Ditempat itulah terjadi peristiwa perang Khandaq atau dikenal juga dengan sebutan perang Ahzab. 


Jemaah hanya melihat dari dalam bas.

Jabal Uhud

Uhud merupakan sebuah bukit yang penuh dengan berkah kerana banyak disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW serta menjadi saksi berlakunya Peperangan Uhud. 

Bukit Uhud menjadi salah satu aktiviti ziarah luar dalam ibadah umrah/haji. Ziarah ini merupakan sunnah Rasulullah yang melawat pusara para Syuhada Uhud hampir setiap tahun disebabkan kecintaan Nabi kepada mereka. Terutamanya bapa saudara baginda Saidina Hamzah yang juga gugur dalam peperangan Uhud.

Muzium Dar Al Madinah

Muzium pertama dan terbesar yang mengkhususkan dalam sejarah Madinah.

Pengunjung dikenakan bayaran dan memilih waktu serta bahasa penyampaian. Terdapat petugas atau pembimbing yang akan menerangkan dalam bahasa samada dalam Bahasa Arab, Inggeris, Indonesia atau Urdu. 


Antara yang paling menarik perhatian ialah laluan penghijrahan baginda dari Makkah ke Madinah, evolusi pembinaan Masjid Nabawi di Madinah, sejak mula diasaskan Rasullulah sehinggalah kepada bentuknya yang ada sekarang.

Pulang Ke Tanah Air

Pulang ke Tanah Air melalui Lapangan Terbang Madinah.

Alhamdulillah kerana berjaya dapat melaksanakan umrah dan ziarah pada kali ini. Semoga  umrah ini mendapat keredhaan Allah dan dikurniakan Umrah yang makbul. Aamiin.

Semoga Allah mempermudahkan lagi saya dan keluarga dapat mengerjakan umrah di masa hadapan.

Sekian.


Comments

Popular

Percutian Musim Sejuk, Seoul, Korea Selatan

Alhamdulillah, syukur terhadap Allah, tercapai juga impian kami untuk bercuti di Korea Selatan. Percutian kami bermula 06 hingga 11 Februari 2014 ke Seoul dan sekitarnya. Kami menggunakan perkhidmatan agen pelancongan persendirian melalui carian di internet, Encik Nolharizat Othman.  Beliau telah memberi perkhidmatan yang baik sepanjang kami di Korea Selatan.  Penginapan Penginapan popular dikalangan pelancong luar adalah di Guesthouse . Geusthouse mempunyai berbagai saiz dan harga. Ia bergantung kepada pelancong atau pengunjung untuk menyewanya. Di Seoul, kami menginap di Ines Inn di kawasan Iteawon. Ines Inn merupakan tumpuan rakyat Malaysia yang menghujungi Seoul. Ines Inn merupakan sebuah apartment yang mempunyai pelbagai saiz. Untuk ke sini, kita perlu mendaki bukit yang agak curam, jika kaki tidak kuat, masalah sikit untuk ke sini. Penginapan kami ini ditempah dan diuruskan oleh pemandu pelancong kami. Guesthouse kami mempunyai tiga bilik serta ruang ta

PERCUTIAN KE PULAU BATAM, INDONESIA 12-14 OGOS 2017

Monument Batam Percutian ke Pulau Batam bersama rakan-rakan pada 12-14 Ogos 2017. PULAU BATAM Peta Pulau Batam Pulau Batam terletak 20km di selatan Singapura dan dipisahkan dari Pulau Bintan oleh Selat Riau, Batam terletak di wilayah Indonesia dan merupakan kota terbesar di Kepulauan Riau. Pulau Batam mempunyai enam terminal feri, di Sekupang, Bandar Waterfront, Batam Center, Harbor Bay, Nongsapura dan Telaga Punggur. Terminal feri Batam Centre menerima feri paling banyak dari Singapura dan Johor. PERSEDIAAN AWAL Untuk keselesaan, kami telah membuat persediaan awal iaitu : Info dari Internet Melayari internet untuk mendapat maklumat Batam. Layari blog-blog mereka yang pernah melawat Batam serta website yang memberi tip dan maklumat berhubung lawatan ke Batam. Pembeliaan Tiket Feri Tiket Feri pergi-balik Stulang Laut-Batam sebanyak RM126 melalui website Berjaya Waterfront. Beli tiket feri Pembelian Tiket Bas Express Tiket Bas Express TBS (Terminal Bersep

05-06 Feb 2014 - Lawatan Hari Pertama di Seoul

05 Feb 2013 merupakan persiapan terakhir kami untuk melancong ke Korea Selatan. Selepas solat Maghrib, kami menaiki Naza Ria kami menuju ke LCCT. Penerbangan ke Korea Selatan, kami menggunakan AirAsia X dimana tiket telah kami beli pada bulan Disember 2013. Waktu berlepas jam 1.00am (06 Feb 2014), Penerbangan ke Incheon International Airport, Seoul mengambil masa lebih kurang 6 jam 30 minit.  Kami tiba di Incheon International Airport jam 8.30 pagi waktu Korea. Perbezaan waktu antara Korea dengan Malaysia adalah 1 jam, waktu Korea cepat daripada Malaysia. Dari Airport, kami perlu menaiki keretapi Airport ke Terminal Ketibaan. Setibanya di Terminal Ketibaan, selepas menuntut bagasi, kami disambut oleh agen pelancongan kami, Pertama kami diberi Kad T-Money setiap seorang. Kad ini digunakan untuk perkhidmatan pengangkutan di Seoul, samada keretapi bawah tanah (subway) dan bas. Dari Airport, kami menaiki subway ke Seoul, ke penginapan kami yang telah

Taman Negara Gunung Mulu - Tapak Warisan Dunia

Latar Belakang Sejarah : Taman Negara Mulu merupakan salah satu daripada Tapak Warisan Dunia. Ia terletak di hulu Sungai Tutuh dengan keluasan 544 km persegi. Kawasan ini mempunyai kepelbagaian spesis yang menakjubkan kerana ia terletak dari kawasan tanah pamah dengan altitud dari 50 meter sehingga 2,376 meter. Kawasn ini juga mempunyai 17 zon vegetasi. Ianya telah diwartakan sebagai Taman Negara pada 3 Oktober 1974.

PERCUTIAN KE KOTA PADANG DAN BUKITTINGGI

Pada 14-17 September 2013, kami berdua, suami isteri pergi bercuti ke Tanah Adat Minangkabau, Kota Padang dan Bukittinggi, Sumatera Barat. Kota Padang merupakan Ibukota Sumatera Barat, sebuah kota terbesar di pesisir barat Pulau Sumatera. Sejarah dari perkampungan nelayan di muara Batang Arau lalu berkembang menjadi bandar pelabuhan. Kota Padang juga terkenal sebagai kawasan rantau Minangkabau, Kota Bukittinggi terletak pada rangkaian Bukit Barisan yang membujur sepanjang pulau Sumatera, dan dikelilingi oleh dua gunung berapi yaitu Gunung Singgalang dan Gunung Marapi. Kota ini merupakan tempat kelahiran beberapa tokoh pendiri Republik Indonesia, di antaranya adalah Mohammad Hatta dan Assaat. Bukittinggi juga terkenal sebagai kota wisata yang berhawa sejuk. HARI 01 - 14 Sep 2013 Setibanya di Bandar Udara Internasional Minangkabau, Padang, kami dijemput oleh pemandu pelancong, Pak Anto yang diperkenalkan oleh agen di Malaysia. Perjalanan wisata kami terus menuju ke Kota Bukittin

Percutian Keluarga ke Kuching 17-20 Mei 2012

Percutian keluarga ke Kuching selama 4 hari 3 malam bermula 17 Mei 2012 hingga 20 Mei 2012 . Biasanya kami berenam tetapi kali ini, dua anak aku tidak dapat menyertai percutian ini kerana berkursus dan ada peperiksaan setengah tahun sekolah. Jawabnya aku berempat bersama isteri dan dua anakku, Fiqah dan Zaki. Kami menggunakan perkhidmatan ajen pelancongan untuk keselesaan melancong di Kuching.

07 Feb 2014 - Lawatan Hari Kedua di Seoul

07 Feb 2014 - Hari kedua kami di Seoul. Tepat jam 8.30 pagi, kami telah bersiap-siap untuk lawatan hari kedua. Waktu sebegini, kebanyakan warga Korea telah pun pergi kerja. Dari penginapan, kami terpaksa menempuh perkara ini, menuruni bukit yang curam. Kepenatan mendaki semalam masih terasa tetapi apabila rasa keseronokan, hilang seketika kepenatan itu. Seoul Bukchon Hanok Village Hanok adalah rumah tradisional Korea. Kira-kira 30 tahun yang lalu, terdapat lebih 800,000 hanok di Seoul, tetapi hari ini hanya 12,000 kekal dengan 900 tertumpu di Seoul Bukchon Hanok Village . Perkampungan tradisional Korea ini terletak di antara bangunan-bangunan tinggi dan moden. Rumah-rumah di sini mengikut pelbagai kelas sosial, kedudukan dari petani hingga kepada raja. Lokasinya mencerminkan pandangan neo-Konfusianisme, mengenai dunia dan alam semula jadi, semasa Dinasti Joseon. Semasa Dinasti Joseon, Seoul mempunyai dua perkampungan iaitu perkampungan utara

PERCUTIAN KELUARGA KE HO CHI MINH, VIETNAM 22-26 JANUARI 2015

Percutian kali ini, kami sekeluarga melancong ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam selama 5 hari 4 malam bermula pada 22 Januari 2015 sehingga 26 Januari 2015. Ini merupaka kali pertama kami menjejaki bumi Veitnam.  Di Veitnam, kami mendapatkan khidmat agen tempatan iaitu  saudara Hj Ab Dol Haliem  (No H/P : +84 90 378 40 45) Bersama Hj Ab Dol Ha Liem Ho Chi Minh dahulunya dikenali sebagai Saigon merupakan bandaraya terbesar di Vietnam. Tarikan utama di bandar ini adalah pakaian-pakaian siap seperti baju kurung dengan manik-manik yang bergemerlapan, telekung dengan ukiran bunga-bunga yang cantik, tudung bawal dan kain-kain ela yang murah. Oleh itu, ramai rakyat Malaysia yang ke sini bukan saja sekadar melancong tetapi pada masa yang sama datang untuk memborong barangan kerana terdapat pusat-pusat borong besar di sini. Industri perlancongan adalah antara penyumbang utama kepada pendapatan negara Vietnam. Bilangan pelancong luar yang melawat Vietnam semakin bertambah sem