KUALA LUMPUR: Ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 semalam disambut meriah, walaupun sambutan kali ini tanpa perbarisan atau pertunjukan bunga api serta konsert kerana bertembung dengan Ramadan.
Sambutan bermula sejak malam semalam dengan pelbagai acara termasuk majlis berbuka puasa, tahlil dan solat Tarawih berjemaah di seluruh negara.
Majlis peringkat nasional diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dengan kehadiran lebih 10,000 orang, walaupun kali pertama diadakan di kawasan tertutup berikutan Ramadan. Malah, sambutan dengan tema 1Malaysia Menjana Transformasi itu dilihat lebih kreatif dan inovasi dari pelbagai aspek.
Acara bermula jam 8 pagi sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, diiringi tiupan nafiri. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta menteri Kabinet yang memakai pakaian batik 1Malaysia, selain dihadiri duta asing dan pemimpin parti politik.
Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan 940 anggota kontinjen di sepanjang jalan masuk ke Stadium Putra.
Tuanku Mizan kemudian mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, sebelum memeriksa kawalan kehormat utama empat pegawai dan 107 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Acara kemudian diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak nyanyian lagu Negaraku dan 14 das tembakan meriam, diikuti bacaan ikrar oleh 53 orang termasuk wakil pendidik, perkhidmatan awam, swasta, perbadanan bukan kerajaan, seni dan budaya serta orang kurang upaya daripada pelbagai kaum.
Sumber : Berita Harian
Comments
Selalunya LF duduk depan TV tengok perarakan. Tetapi hari tu, ada hal pulak. Kita harus bangga dengan negara kita ni.