بحيرة الأزهر شرح سفينة النجاة
Kitab Buhairah Al-Azhar Syarah Matan Safinah An-Najah
SUNAT-SUNAT WUDUK
Siri 20
Bermula perkara yang sunat ketika mengambil wuduk itu beberapa perkara .
Disunatkan membaca basmalah yaitu بسم الله الرحمن الرحيم ketika hendak memulakan berwuduk.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. beliau berkata :
طَلَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضُوءًا فَلَمْ يَجِدُوا، فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلْ مَعَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مَاءٌ؟ فَأُتِيَ بِمَاءٍ فَوَضَعَ يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ الَّذِي فِيهِ الْمَاءُ ثُمَّ قَالَ: تَوَضَّئُوا بِسْمِ اللَّهِ
Artinya : “Sebahagian sahabat Nabi sollallahu alaihi wasallam mencari akan air untuk berwuduk tetapi mereka tidak menemuinya. Lalu Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda : Adaklah salah seorang kamu mempunyai air? Lalu dibawa datang dengan air kemudian baginda meletakkan tangannya di dalam bekas yang ada di dalamnya air kemudian bersabda : Berwuduklah kamu sekelian dengan menyebut bismillah.” (Hadith riwayat An-Nasaie)
Dan kerana hadith :
كل أَمر ذِي بَال لَا يبْدَأ فِيهِ بِبسْم الله فَهُوَ أَجْذم
Artinya : “Setiap pekerjaan yang elok yang tidak dimulakan padanya dengan bismillah maka ia terpotong.”
Maksudnya kurang keberkatannya.
Sekurang-kurang lafaz basmalah yang disunatkan itu ialah بِاسْمِ اللَّهِ dan yang afdhalnya ialah membaca dengan sempurna yaitu بِسم الله الرَّحْمَن الرَّحِيم .
Adalah membaca basmalah pada permulaan wuduk ini sunat muakkad yakni yang sangat dituntut melakukannya.
Apabila seorang itu terlupa membacanya pada permulaan mengambil wuduk maka hendaklah dia membacanya pada ketika dia ingat ketika wuduknya belum selesai.
Berkata Imam Syafie :
فان سهى عَنْهَا سَمَّى مَتَى ذَكَرَ إنْ ذَكَرَ قَبْلَ أَنْ يُكْمِلَ الْوُضُوءَ
Artinya : “Maka jika seorang itu terlupa dari menyebut basmalah hendaklah dia membacanya bila masa dia ingat jika ingatnya itu sebelum sempurna dari wuduk.” (Kitab Al-Umm)
Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :
فَلَو نَسِيَهَا فِي ابْتِدَاء الْوضُوء أَتَى بهَا مَتى ذكرهَا فِي الْوضُوء كَمَا فِي تَسْمِيَة الطَّعَام
Artinya : “Maka jikalau seorang itu terlupa membaca basmalah pada permulaan wuduk hendaklah dia bacanya bila masa dia teringatkannya ketika masih dalam berwuduk sebagaimana pada hukum membaca basmalah ketika makan.” (Kitab Kifayatul Akhyar)
Jika seorang itu sengaja tidak membaca basmalah ketika memulai wuduk dan tidak juga dia datangkan ketika pertengahan wuduk nescaya wuduknya itu sah dan memadai tetapi sunat atas siapa yang terlupa membacanya pada permulaan bahawa dia bacanya ketika dia ingat supaya mendapat akan kelebihannya.
Berkata Imam As-Syairazi :
فان نسى التسمية في أولها وذكرها في اثنائها أتي بها حتى لا يخلو الوضوء من اسم الله عز وجل وان تركها عمدا اجزأه
Artinya : “Jika seorang itu lupa baca basmalah pada awalnya dan dia teringat ketika pertengahan wuduk maka hendaklah dia membacanya supaya tiada sunyi wuduknya dari nama Allah Taala dan jika dia sengaja tidak membacanya maka wuduknya itu sudah memadai.” (Kitab Al-Muhazzab)
Kedua : Membasuh Dua Tangan
Maksud membasuh tangan di sini ialah membasuh dua tapak tangannya dan segala jari-jarinya yakni membasuh dari hujung jari sehingga ke pergelangan tangan sahaja dan bukanlah membasuh tangan sampai kedua siku kerana yang demikian itu adalah rukun wuduk yang dikerjakan selepas membasuh muka manakala membasuh dua tapak tangan ini adalah sunat wuduk.
Yang afdhal ialah memulakan membasuh kedua tangannya itu dengan mengucap basmalah dan berniat di dalam hatinya mengambil wuduk yakni lain daripada niat ketika membasuh muka kerana niat ketika membasuh muka itu ialah rukun wuduk.
Bagi mereka yang berwuduk dengan cara mengambil air dengan tangan dari dalam bekas air maka baginya hukum yang berbeza yaitu :
Jika dia yakin pada tangannya itu ada najis maka dilarang atasnya memasukkan tangannya ke dalam bekas air kerana akan merosakkan kesucian air tersebut.
Dan jika dia syak tentang kesucian tangannya itu seperti dia baru bangun dari tidur maka dimakruhkan dia memasukkan tangannya itu ke dalam bekas air sebelum dia membasuhnya terlebih dulu.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ نَائِمًا ثُمَّ اسْتَيْقَظَ فَأَرَادَ الْوُضُوءَ، فَلَا يَضَعْ يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ حَتَّى يَصُبَّ عَلَى يَدِهِ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ
Artinya : “Apabila adalah seorang kamu itu tidur kemudian setelah dia terjaga dan hendak berwuduk maka janganlah dia masukkan tangannya ke dalam bekas air sebelum dia tuangkan air ke atas tangannya dari kerana dia tidak pasti di mana tangannya berada ketika dia tidur.” (Hadith riwayat Ahmad)
Dan pada riwayat At-Tabarani Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :
فَلْيَغْسِلْ يَدَهُ قَبْلَ أَنْ يُدْخِلَهَا فِي وَضُوئِهِ
Artinya : “Maka basuhlah akan tangannya sebelum bahawa dia memasukkannya ke dalam air wuduknya.”
Dan jika dia yakin tangannya suci maka tidaklah makruh baginya memasukkan tangannya ke dalam bekas air kerana tidak akan merosakkan kesucian air akan tetapi disunatkan dia membasuhnya juga terlebih dahulu.
Kesimpulannya jika dia yakin tangannya ada najis maka haram dia masukkannya ke dalam air yang suci kerana sengaja merosakkan kesucian air itu dilarang pada syarak maka wajib dia membasuhnya terlebih dahulu dan jika dia tidak pasti samada tangannya itu ada najis atau suci maka makruh dia masukkan tangannya ke dalam air yang suci sebelum membasuhnya tiga kali dan jika dia yakin tangannya bersih maka sunat juga dia membasuhnya tetapi tidak makruh jika dia memasukkan tangannya ke dalam air suci sebelum membasuhnya.
Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda :
إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ مَنَامِهِ، فَلَا يَغْمِسْ يَدَهُ فِي إِنَائِهِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلَاثًا
Artinya : “Apabila seorang kamu terjaga dari tidurnya maka jangan dia selamkan tangannya di dalam bekas air sehingga dia membasuhnya tiga kali.” (Hadith Abu Hurairah riwayat Imam Ahmad)
Ketiga : Berkumur Dan Masukkan Air Ke Hidung
Disunatkan berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung kerana mengikut amalan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.
Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :
والمضمضة: هي إدخال الماء في الفم وخضخضته وطرحه، أو استيعاب جميع الفم بالماء. والاستنشاق: إدخال الماء في الأنف وجذبه بنفسه إلى داخل أنفه
Artinya : “Bermula makna madmadhah ialah memasukkan air ke dalam mulut dan berkumur dengannya kemudian mengeluarkannya atau meratakan sekelian bahagian dalam mulut dengan menggunakan air. Dan makna istinsyaq ialah memasukkan air ke dalam hidung dan mengisapnya dengan nafasnya ke dalam rongga hidungnya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
Diriwayatkan daripada Humran r.a. bekas budak Uthman bin ‘Affan r.a. beliau bercerita tentang cara Uthman r.a. berwuduk dengan katanya :
ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الإِنَاءِ، فَمَضْمَضَ، وَاسْتَنْشَقَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا
Artinya : “Kemudian beliau memasukkan akan tangan kanannya ke dalam air lalu berkumur dan memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya kemudian beliau membasuh mukanya tiga kali.” (Hadith riwayat Bukhari)
Dan pada riwayat Imam Muslim Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :
مَا مِنْكُمْ رَجُلٌ يُقَرِّبُ وَضُوءَهُ فَيَتَمَضْمَضُ، وَيَسْتَنْشِقُ فَيَنْتَثِرُ إِلَّا خَرَّتْ خَطَايَا وَجْهِهِ، وَفِيهِ وَخَيَاشِيمِهِ،
Artinya : “Tiada seorang daripada kamu mengambil wuduk lalu dia berkumur dan memasukkan air ke hidung dan dikeluarkannya melainkan gugurlah segala kesalahannya mukanya dan mulutnya dan hidungnya.”
Disunatkan seorang itu ketika hendak berkumur mengambil air dengan tangannya yang kanan.
Berkata Imam Al-Muzani telah berkata Imam Syafie :
يُسْتَحَبُّ أَنْ يَأْخُذَ الْمَاءَ لِلْمَضْمَضَةِ بِيَدِهِ الْيُمْنَى وَاتَّفَقَ الْأَصْحَابُ عَلَى اسْتِحْبَابِ ذَلِكَ
Artinya : “Disunatkan bahawa seorang itu mengambil akan air untuk berkumur dengan tangannya yang kanan dan telah sepakat oleh Ashab atas disunatkan yang demikian itu.” (Kitab Mukhtasar Al-Muzani)
Yang afdhal ialah dia masukkan air ke dalam mulutnya kadar yang boleh membersihkan semua bahagian dalam mulutnya yaitu tidak terlalu sedikit dan tidak terlalu banyak kemudian dia lalukan air dengan cara mengocaknya biar rata air itu kepada sekelian celah gigi dan gusi dan lidah dan langitnya kemudian diludahnya air tersebut.
Dan yang afdhal ketika memasukkan air ke hidung itu ialah dengan cara menghisapnya supaya air tersebut membersihkan segala debu dan kotoran yang ada di dalam hidung kemudian dihembuskan air tersebut.
Cara menghisap air ke dalam hidung supaya tidak menyakitkan dan tidak lepas masuk ke rongga hidung yang batin ialah dia ambil air dengan tapak tangannya kemudian dia menarik nafas dan apabila hanya tinggal sedikit lagi nafas yang belum ditariknya maka disitulah masanya dia hisap air dari tapak tangannya itu. Dengan cara begini kekuatan menghisap air tidaklah terlalu kuat maka air yang dihisap tidak pergi terlalu jauh ke dalam rongga hidung yang batin dan tidak menyakitkan hidungnya.
Jikalau seorang itu hanya memasukkan air ke dalam mulut dan tidak berkumur maka telah hasil baginya mengikut sunnah mengikut pendapat yang kuat.
Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :
ثمَّ أصل السّنة يحصل بإيصال المَاء إِلَى الْفَم وَالْأنف سَوَاء أداره أم لَا وَهَذَا هُوَ الرَّاجِح
Artinya : “Kemudian asal mengikut sunnah sudah berhasil dengan memasukkan air ke dalam mulut dan hidung samada dia gerak-gerakan air itu atau tidak. Inilah pendapat yang kuat.” (Kitab Kifayatul Akhyar)
Dan disunatkan mendahulukan berkumur dari memasukkan air ke hidung kerana setengah fuqahak mensyaratkan berkumur terlebih dahulu.
Cara yang afdhal ialah berkumur dari cebukan air dengan tapak tangan tiga kali berkumur dari tiga cebukan kemudian tiga kali menghisap air ke hidung dari tiga kali cebukan.
Atau dengan setiap satu cebuk itu dia berkumur dan hisap air ke hidung kemudian dua kali cebuk lagi.
Dan sunat bersungguh-sungguh ketika berkumur dan memasukkan air ke hidung itu kerana ia lebih membersihkan melainkan orang yang sedang berpuasa.
Dan yang afdhal ialah bersugi ketika berkumur kerana ia lebih membersihkan dan beramal dengan perintah Nabi sollallahu alaihi wasallam.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :
لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ وُضُوءٍ
Artinya : “Kalaulah tidak kerana aku takut memberatkan atas umatku nescaya telah aku perintahkan mereka bersugi ketika mengambil wuduk.” (Hadith riwayat Ahmad)
Keempat : Menyapu Sekelian Kepala.
Bermula menyapu air pada sebahagian kepala adalah rukun wuduk.
Maka sah wuduknya dengan hanya menyapu air pada rambut sahaja tanpa kena kepada kulit kepala atau hanya menyapu air pada kulit kepala sahaja tanpa kena kepada rambutnya.
Dan begitu juga sah jika disapu sedikit sahaja pada bahgian kepalanya samada bahagian hadapan sahaja atau belakang sahaja atau pada tepi kepala sahaja.
Akan tetapi disunatkan atas orang yang berwuduk itu dia menyapu sekelian kepalanya yakni air kena pada sekelian rambut dan kulit kepalanya.
Maka yang dimaksudkan dengan sunat menyapu sekelian kepala itu ialah menyapu bahagian yang lebih dari kadar yang diwajibkan.
Berkata Syeikh Sa’id Al-Hadhrami :
(و) من سننه (مسح جميع الرأس) أي: الزائد على قدر الواجب منه؛ للاتباع؛ لأنه أكثر ما ورد في وضوئه صلى الله عليه وسلم، وخروجاً من خلاف موجبه كمالك
Artinya : “Dan setengah dari sunat-sunat wuduk itu ialah menyapu sekelian kepalanya artinya menyapu yang lebih atas kadar yang wajib daripada kepala kerana mengikut perbuatan Nabi sollallahu alaihi wasalam kerana sungguhnya kebanyakkan yang datang pada wuduk Nabi sollallahu alaihi wasallam itu ialah menyapu sekelian kepala dan kerana keluar dari pendapat mereka yang mewajibkannya seperti Imam Malik.” (Kitab Busyral Karim)
Dan yang adfhal ialah memulakan sapu air pada bahagian hadapan kepala hingga ke balakang kepalanya.
Dan jika seorang itu memakai serban dan dia tidak mahu menanggalkannya ketika berwuduk maka hendaklah disapu air pada bahagian kepalanya yang tidak tertutup dengan serban tetapi yang afdhal ialah dia menyapu ubun-ubunnya dengan air kemudian menyapu pula di atas serbannya itu akan tetapi jika dia hanya menyapu air di atas serbannya sahaja necsaya tidak memadai.
Berkata Imam As-Syairazi :
وَإِنْ كَانَ عَلَى رَأْسِهِ عِمَامَةٌ وَلَمْ يُرِدْ نَزْعَهَا مَسَحَ بِنَاصِيَتِهِ وَالْمُسْتَحَبُّ أَنْ يُتِمَّ الْمَسْحَ بِالْعِمَامَةِ لِمَا رَوَى الْمُغِيرَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ فَمَسَحَ بِنَاصِيَتِهِ وَعَلَى عِمَامَتِهِ فَإِنْ اقْتَصَرَ عَلَى مَسْحِ الْعِمَامَةِ لَمْ يُجْزِئْهُ لِأَنَّهَا لَيْسَتْ بِرَأْسٍ
Artinya : “Dan jika adalah atas kepalanya serban dan dia tidak mahu membukanya hendaklah dia sapu air akan ubun-ubunya dan yang sunat ialah disempurnakan akan sapu itu di atas serbannya kerana hadith yang telah meriwayatkan oleh Al-Mughirah r.a. sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam berwuduk maka disapunya akan ubun-ubunnya dan atas serbannya. Maka jika seorang itu meringkaskan atas menyapu serbannya sahaja nescaya tidak memadai kerana serban tidak termasuk kepala.” (Kitab Al-Muhazzab)
Kelima : Menyapu Telinga
Adalah disunatkan menyapu dua telinga bahagian dalam dan bahagian luarnya dengan air yang baru yakni bukan dengan menggunakan bekas air menyapu kepala.
Maksud bahagian dalam telinga itu ialah bahagian dalam kelopak telinganya bukan dalam lubang telinganya.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid Al-Ansori r.a. berkata :
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، §يَتَوَضَّأُ فَأَخَذَ مَاءً لِأُذُنَيْهِ خِلَافَ الْمَاءِ الَّذِي مَسَحَ بِهِ رَأْسَهُ
Artinya : “Aku telah melihat akan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam mengambil wuduk lalu baginda mengambil akan air yang baru untuk dua telinganya bukan air yang telah digunakan menyapu akan kepalanya.” (Hadith riwayat Al-Hakim)
Keenam : Menyelati Janggut Dan Segala Jari Tangan Dan Kaki
Disunatkan ketika membasuh muka dan kedua tangan dan kedua kaki menyelati akan celah-celah janggutnya dan segala jarinya keduanya.
Makna menyelati ialah memasukkan pada celah-celah dengan menggunakan jari yang direnggangkan.
Caranya ialah ketika membasuh tangan kanan dengan memasukkan jari-jari tangannya yang kiri ke celah segala jarinya yang kanan dan mengerak-gerakkannya dan ketika membasuh kakinya yang kanan maka dimasukkan jari tangannya ke celah segala jari kakinya itu dan digerak-gerakkannya.
Berkata Dr Wahbah Az-Zuahili :
يسن تخليل اللحية الكثة بكف ماء من أسفلها ، وتخليل أصابع اليدين والرجلين باتفاق
Artinya : “Disunatkan menyelati janggut yang tebal dengan air dari arah bawahnya dan menyelati segala jari dua tangan dan dua kaki dengan sepakat ulamak.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. beliau berkata :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَوَضَّأَ خَلَّلَ لِحْيَتَهُ وَفَرَّجَ أَصَابِعَهُ مَرَّتَيْنِ
Artinya : “Adalah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam apabila berwuduk baginda menyelati akan janggutnya.” (Hadith riwayat Ibnu Majah)
Dan diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Ansori r.a. berkata :
رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ فَخَلَّلَ لِحْيَتَهُ
Artinya : “Aku telah melihat akan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam berwuduk maka baginda menyelati akan janggutnya.” (Hadith riwayat At-Tabarani)
Dan diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. katanya Nabi sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
إِذَا تَوَضَّأتَ فَخَلِّلْ بَيْنَ أَصَابِعِ يَدَيْكَ وَرِجْلَيْكَ
Artinya : “Apabila kamu berwuduk maka selatilah antara segala jari dua tanganmu dan dua kakimu.” (Hadith riwayat Tirmizi)
Dan adalah sunat menyelati janggut dan jari kaki dan tangan ini ialah apabila air telah rata walau pun tanpa diselatinya.
Adapun jikalau air tidak rata melainkan dengan diselatinya maka menyelat ini hukumnya adalah wajib bukan lagi sunat.
Ketujuh : Membasuh Sebelah Kanan Dahulu
Disunatkan membasuh anggota sebelah kanan dahulu dari anggota sebelah kiri.
Dan yang disunatkan membasuh sebelah kanan dahulu ini ialah pada anggota yang tidak dapat dilakukan sekali gus keduanya seperti tangan dan kaki.
Ada pun anggota yang boleh dilakukan sekali gus keduanya sekali seperti muka dan kepala dan dua telinga maka tidaklah disunatkan sebelah kanan dahulu dan begitu juga dengan berkumur dan memasukkan air ke hidung maka tidak disunatkan sebelah kanan dahulu.
Oleh itu tidaklah dibasuh muka sebelah kanan dahulu atau sapu kepala sebelah kanan dahulu atau sapu telinga sebelah kanan dahulu atau berkumur sebelah kanan dahulu bahkan dibasuh muka sekali gus sebelah kanan dan kiri dengan menggunakan dua tapak tangan dan kepala sekali gus dengan dua tangan dan dua telinga sekali gus dengan jari kedua tangan.
Dan sebab disunatkan sebelah kanan dahulu pada membasuh tanagn dan kaki itu ialah kerana tidak dapat dilakukan pada kedua belah kanan dan kiri sekali gus maka didulukan sebelah kanan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. dari Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :
وَإِذَا تَوَضَّأْتُمْ، فَابْدَءُوا بِأَيَامِنِكُمْ
Artinya : “Apabila kamu sekelian mengambil wuduk maka mulakanlah dengan sebelah kanan kamu dahulu.” (Hadith riwayat Abu Daud)
Dan diriwayatkan daripada Aisyah r.a. berkata :
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Artinya : “Adalah Nabi sollallahu alaihi wasallam menyukai akan kanan pada ketika memakai kasut dan ketika menyikat rambut dan ketika bersuci dan pada sekelian pekerjaannya.” (Hadith riwayat Bukhari)
Dan disunatkan ketika membasuh dua tangan itu dimulakan dengan jarinya terlebih dahulu kemudian naik sampai ke siku dan pada kakinya begitu juga dimulakan membasuh jari kaki terlebih dulu kemudian naik sampai kepada buku lali.
Maka jika seorang itu membasuh terbalik yaitu dibasuhnya siku dahulu kemudian turun hingga kepada jari tangannya dan buku lali dahulu kemudian turun hingga jari-jari kakinya maka wuduknya itu sah.
Kelapan : Membasuh Tiga Kali
Disunatkan membasuh dan menyapu air ketika berwuduk tiga-tiga kali yaitu membasuh tangan dan berkumur dan memasukkan air ke hidung dan membasuh muka dan membasuh dua tangan dan menyapu kepala dan menyapu dua telinga dan membasuh dua kaki.
Bermula membasuh sekali sahaja itu ialah sekurang-kurang sah dan tiga-tiga kali itu sunat hukumnya.
Diriwayatkan daripada Ar-Rabi’ bin AlMu’awwiz r.a. katanya :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ثَلَاثًا ثَلَاثًا
Artinya : “Bahawasanya Rasulullah sollallah alaihi wasallam mengambil wuduk tiga kali tiga kali.” (Hadith riwayat Ibnu Majah)
Ada pun hadith Ibnu Umar r.a. yaitu katanya :
تَوَضَّأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً مَرَّةً فَقَالَ: هَذَا الْوُضُوءُ الَّذِي لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةً إِلَّا بِهِ
Artinya : “Telah berwuduk oleh Rasulullah sollallahu alaihi wasallam sekali sekali maka katanya : Inilah wuduk yang tidak menerima Allah akan solat melainkan dengannya.”
Maksud hadith ini ialah basuhan yang wajib yaitu sekurangnya sekali basuh atau sekali menyapu tidak boleh kurang daripada itu.
Dan pada hadith Ibnu Majah :
أَن عليا رَضِي الله تَعَالَى عَنهُ تَوَضَّأ ثَلَاثًا ثَلَاثًا وَمسح رَأسه ثَلَاثًا وَقَالَ هَذَا وضوء رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم وَالله
Artinya : “Sungguhnya Ali r.a. mengambil wuduk tiga-tiga kali dan menyapu kepalanya juga tiga kali dan berkata : Inilah wuduk Rasulullah sollallahu alaihi wasallam.”
Maka jikalau seorang itu membasuh atau menyapu sekali sahaja nescaya wuduknya itu telah sah akan tetapi hendaklah difahami bahawa yang dikira dengan bilangan sekali itu ialah basuhan yang meratai sekelian bahagian yang wajib pada anggota yang dibasuh. Maka jika belum rata dengan sekali basuhan seperti pada basuhan pertama pada mukanya air hanya rata pada bahagian atas nescaya belum lagi dikira sekali bahkan wajib dia tambah lagi sekali sehingga rata pula air di bahagian bawah mukanya. Maka jika telah rata sekelian bahagian mukanya yang wajib dibasuh maka barulah dibilang dengan sekali walaupun dia telah menyampaikan air ke mukanya sebanyak beberapa kali.
Kesembilan : Ghurrah Dan Tahjil
Disunatkan ghurrah yaitu membasuh sampai lebih dari kawasan yang wajib dibasuh pada muka dan tahjil yaitu melebihkan basuh dari kawasan yang wajib dibasuh pada dua tangan dan dua kaki ketika mengambil wuduk.
Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :
(إطَالَةُ غُرَّتِهِ) بِغَسْلٍ زَائِدٍ عَلَى الْوَاجِبِ مِنْ الْوَجْهِ مِنْ جَمِيعِ جَوَانِبِهِ، وَغَايَتُهَا غَسْلُ صَفْحَةِ الْعُنُقِ مَعَ مُقَدِّمَاتِ الرَّأْسِ (وَ) إطَالَةُ (تَحْجِيلِهِ) بِغَسْلٍ زَائِدٍ عَلَى الْوَاجِبِ مِنْ الْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ مِنْ جَمِيعِ الْجَوَانِبِ، وَغَايَتُهُ اسْتِيعَابُ الْعَضُدَيْنِ وَالسَّاقَيْنِ
Artinya : “Sunat memanjangkan gurrah dengan membasuh lebih atas kadar yang wajib daripada muka pada sekelian pihak muka. Dan kesudahannya sehingga ke bawah leher dan permulaan kepala. Dan sunat memanjangkan tahjilnya dengan membasuh yang lebih atas kadar yang wajib daripada dua tangannya dan dua kakinya dari sekelian pihak. Dan kesudahannya sampai ke pangkal bahu dan betisnya.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :
إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ
Artinya : “Sungguhnya umatku nanti akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bercahaya segala anggota wuduk mereka kesan daripada berwuduk. Maka barangsiapa daripada kamu sekelian mampu untuk membasuh lebih ketika berwuduk maka kerjakanlah.” (Hadith riwayat Bukhari)
Kesepulah : Membaca Syahadah Dan Berdoa
Disunatkan selepas daripada selesai mengambil wuduk membaca syahadah kemudian berdoa.
Diriwayatkan daripada Umar r.a. secara marfu’ :
مامنكم من أحد يتوضأ فيبلِّغ، أو فيسبغ الوضوء ، ثم يقول: أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله، إلا فتحت له أبواب الجنة الثمانية، يدخل من أيها شاء
Artinya : “Tiada ada dari pada seorang kamu yang berwuduk dan dia melakukannya dengan bersungguh dan dengan sempurna kemudian dia membaca :
أشهد أَن لَا إِلَه إِلَّا الله وَحده لَا شريك لَهُ وَأشْهد أَن مُحَمَّدًا عَبده وَرَسُوله
Melainkan akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang delapan dan masuk ia ke dalamnya pada mana-mana pintu yang dia mahu.” (Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud)
Dan pada riwayat Muslim dan Tirmizi :
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
Dan pada riwayat Ahmad dan Abu Daud :
اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ
Artinya : “Ya Allah jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang banyak bertaubat dan jadikan aku dari kalangan orang-orang yang bersuci.”
Diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. beliau berkata : Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda :
مَنْ تَوَضَّأَ ثُمَّ قَالَ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ , أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ , أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ , كُتِبَ فِي رَقٍّ ثُمَّ طُبِعَ بِطَابَعٍ فَلَمْ يُكْسَرْ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Artinya : “Barangsiapa mengambil wuduk kemudian dia mengucapkan : سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ , أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ , أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ nescaya akan dituliskan di dalam satu lembaran kemudian ditutup dengan satu penutup dan tidak akan dibuka sehingga hari kiamat.” (Hadith riwayat An-Nasaie)
Jika seorang itu mengambil wuduk di dalam tandas maka hendaklah dia membaca syahadah dan doa itu diluar tandas.
Doa Setiap Anggota Wuduk
Setengah ulamak mengharuskan membaca doa ketika membasuh setiap anggota wuduk dan doa tersebut bukan daripada hadith yaitu :
Ketika membaca dua tangan :
اللهم احفظ يدي من معاصيك كلها
Artinya : “Ya Allah peliharalah dua tanganku dari derhakakan-Mu sekeliannya.”
Ketika berkumur :
اللهم أعني على تلاوة القرآن وذكرك وشكرك وحسن عبادتك
Artinya : “Ya Allah bantulah aku atas membaca Al-Quran dan menyebut-Mu dan syukurkan-Mu dan elok beribadah kepada-Mu.”
Ketika memasukkan air ke hidung :
بسم الله، اللهم أرحني رائحة الجنة ولا ترحني رائحة النار
Artinya : “Dengan nama Allah kurniakan aku akan harum bau syurga dan jangan biarkan aku mendapat bau neraka.”
Ketika membasuh muka :
اللهم بيض وجهي يوم تبيض وجوه وتسود وجوه
Artinya : “Ya Allah putihkanlah mukaku pada hari putih segala muka dan hitam segala muka.”
Ketika membasuh tangan kanan :
اللهم أعطني كتابي بيميني وحاسبني حساباً يسيراً
Artinya : “Ya Allah kurniakan aku akan kitab amalanku dengan pihak kananku dan hisablah aku akan hisab yang sedikit.
Ketika membasuh tangan kiri :
اللهم لا تعطني كتابي بشمالي ولا من وراء ظهري
Artinya : “Ya Allah jangan Engkau berikan kitab amalanku melalui pihak kiriku dan jangan dari belakangku.”
Ketika menyapu kepala :
اللهم حرم شعري وبشري على النار
Artinya “ Ya Allah haramkan rambutku dan kulitku atas api neraka.”
Ketika menyapu dua telinga :
اللهم اجعلني من الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنه
Artinya : “Ya Allah jadikan aku dari orang-orang yang menuntut dengar akan perkataan yang benar kemudian mengikut dengan ikutan yang terbaik.”
Ketika membasuh dua kaki :
اللهم ثبِّت قدمي على الصراط يوم تزل الأقدام
Artinya : “Ya Allah tetapkan kedua tapak kakiku di atas sirat pada hari tergelincir segala tapak kaki.”
Berkata Dr Wahbah Az-Zuahili :
وأما الدعاء عند غسل الأعضاء فلا أصل له في كتب الحديث، كما قال النووي رحمه الله. واستحبه الحنفية، والمالكية ، وأباحه بعض الشافعية
Artinya : “Dan ada pun doa ketika membasuh segala anggota wuduk itu maka tiada asal baginya daripada kitab hadith seperti yang berkata oleh Imam Nawawi. Dan ulamak mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan sebagai sunat. Dan sebahagian ulamak mazhab Syafie mengharuskannya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
wallahua’lam
ustaz azhar idrus
Comments