Percutian ke Pulau Batam bersama rakan-rakan pada 12-14 Ogos 2017.
PULAU BATAM
Pulau Batam terletak 20km di selatan Singapura dan dipisahkan dari Pulau Bintan oleh Selat Riau, Batam terletak di wilayah Indonesia dan merupakan kota terbesar di Kepulauan Riau. Pulau Batam mempunyai enam terminal feri, di Sekupang, Bandar Waterfront, Batam Center, Harbor Bay, Nongsapura dan Telaga Punggur. Terminal feri Batam Centre menerima feri paling banyak dari Singapura dan Johor.
PERSEDIAAN AWAL
Untuk keselesaan, kami telah membuat persediaan awal iaitu :
Info dari Internet
Melayari internet untuk mendapat maklumat Batam. Layari blog-blog mereka yang pernah melawat Batam serta website yang memberi tip dan maklumat berhubung lawatan ke Batam.
Pembeliaan Tiket Feri
Tiket Feri pergi-balik Stulang Laut-Batam sebanyak RM126 melalui website Berjaya Waterfront.
Pembelian Tiket Bas Express
Tiket Bas Express TBS (Terminal Bersepadu Selatan) ke Larkin, Johor Bahru, Bas Express Star Coach berharga RM35 dan Bas Express Mayang Sari berharga RM38.50 untuk pulang dari Larkin Central ke TBS, Kuala Lumpur melalui website BusOnline Ticket.com.
Tukaran Matawang/Duit
Tukaran matawang ketika ini adalah IDR 1 Juta = RM 328, mahal juga.
Tempahan Hotel
Tempahan hotel dibuat melalui www.booking.com. Kami memilih hotel Lovina Inn di kawasan Lubuk Baja atau lebih dikenali kawasan Nagoya. Di kawasan ini terdapat 2 pasaraya besar dan popular iaitu Nagoya Hill Shopping Mall dan Batam Square City Mall.
Paspot Antarabangsa
Dan tidak lupa dan paling penting ialah paspot antarabangsa, semak..takut-takut dah tamat tempoh.
HARI PERTAMA
Terminal Bersepadu Selatan (TBS)
Kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dengan menaiki bas Star Coach Express pada jam 11.30 malam. Perjalanan dari TBS ke Terminal Bas Larkin Central sepatutnya mengambil masa lebih kurang 4 jam 30 minit tetapi pemandu bas itu memandu bas begitu laju, jam 2.40 pagi kami telah sampai ke Terminal Bas Larkin Central. Terlelap ketika di Nilai, sedar, sedar, dah sampai Sedenak, laju sungguh. Alhamdulillah, kami sampai dengan selamat di Larkin.
Masjid An-Nur, Larkin Central
Kami berehat di Masjid An-Nur, Larkin Central, sementara menunggu Solat Subuh.
Selepas Solat Subuh, kami menikmati sarapan di salah satu gerai yang terdapat di terminal bas ini. Selepas sarapan, kami terus mengambil teksi untuk ke Terminal Feri di Stulang Laut. Untuk sebuah teksi, pemandu itu meminta bayaran RM20 untuk ke Stulang Laut. Kalau guna meter, lebih kurang RM15. Kami setuju sahaja permintaan pemandu teksi itu.
Terminal Feri Stulang Laut
Berurusan di kaunter untuk menyelesaikan urusan tiket. Jadual berangkat feri kami pada jam 8.45 pagi, boarding jam 8.15 pagi. Selesai cop paspot dan urusan kastam, kami pergi untuk menaiki feri. Feri kami bermula bergerak jam 8.50 pagi menuju Pulau Batam.
Peringkat permulaan, feri bergerak agak perlahan sepanjang pengairan Johor/Singapura, mungkin peraturan pelayaran begitu agaknya. Tetapi apabila masuk kawasan antarabangsa, feri mula dipandu laju.
Terminal Feri Batam Center
Lebih kurang 2 jam, kami tiba di Terminal Feri Batam Center.
Setiba di Batam, selepas pemeriksaan imigresen, kami keluar mencari van untuk pengangkutan di Batam. Setelah berunding dengan pemilik van Avanza, kami bersetuju menggunakan perkhidmatan beliau dengan kos keseluruhan IDR 1.15 juta (IDR 500,000 sehari). Bayaran akan dibuat semasa pulang nanti.
Lapangan Terbang Hang Nadim
Tempat pertama kami kami pergi adalah Lapangan Terbang Tun Nadim.
Seterusnya kami menuju ke Jambatan Barelang yang sangat popular sebagai ikon wisata di Batam.
Restoran Kelong Aneka Selera
Perjalanan ke Jambatan Barelang mengambil masa lebih kurang 45 minit. Kami meminta supir untuk mencari restoran sekitar Jambatan Barelang untuk makan tengahari. Kami singgah di Restoran Kelong Aneka Selera.
Makanan seafood dan segar. Ikan diambil dari kolam yang dibela sekeliling restoran. Masakan ok tetapi agak mahal. Mungkin kami ini dianggap pelancong.
Jambatan Barelang
Jambatan Barelang terletak kira-kira 40 kilometer dari Pusat Bandar Batam.
Terdapat banyak gerai-gerai jalanan disini. Dari disini juga, kita dapat melihat suasana nyaman kampung-kampung nelayan.
Masjid Al-Barkah Yonif 10
Selepas menikmati makan tengahari, mencari masjid untuk menunaikan Solat Jamak Zohor dengan Asar. Kami singgah di Masjid Al-Barkah yang terletak bersebelahan Kem Tentera Indonesia.
Batam Hill Golf Resort
Selepas solat, kami bergerak untuk ke hotel. Dalam perjalanan menuju ke hotel, kami singgah di Batam Hill Golf Resort. Batam merupakan destinasi popular bagi mereka yang gemar bermain golf.
Batam Hill Golf Resort mempunyai padang golf 18 lubang. Dari lounge, kita dapat melihat permandangan padang golf yang hijau dan menarik.
Hotel Lovina Inn
Selepas melawat Batam Hill Golf Resort, kami terus ke hotel untuk check-in. Hotel ini terletak di Lubuk Baja, berdekatan dengan Nagoya Hill Shopping Mall. Kami menginap di sini untuk dua malam.
HARI KEDUA
Hari kedua ini, kami mula dengan bersarapan pagi di hotel. Ramai juga pelancong menginap di hotel ini. Aktiviti pertama hari ini, kami akan melawat salah tempat wisata di Batam iaitu Coastarina Park.
Coastarina Park
Coastarina Park adalah tapak taman hiburan dan permainan kanak-kanak di tepi pantai, terletak di daerah Pasir Putih, Batam. Coastarina dapat dilihat dari feri ketika hendak sampai ke terminal. Pembangunannya mirip seperti The World di Dubai dan ia merupakan salah satu ikon pelancongan.
Penceritaannya begitu gah tetapi sayangnya, ia tidak diurus dengan baik, banyak peralatan yang rosak dan tidak berfunsi.
Batam Monument
Batam Monument ini merupakan mercu tanda Batam. Ia berdekatan dengan Masjid Raya Batam. Pelancong yang datang ke Batam tidak akan terlepas untuk bergambar di sini, berlatarbelakangkan 'WELCOME TO BATAM'.
Di kawasan Monument ini terdapat gerai-gerai kereta sorong seperti gerai pasar malam yang menjual pelbagai makanan ringan.
Disini kami mencuba kuih Kerak Telor. Kuih Kerak Telur ini, bahan-bahan utamanya telur, kentang dan perencah. Kesemua itu digaul sekali dan dimasak seperti takoyaki.
Padang Golf Sukajadi
Sekali lagi, kami pergi melawat padang golf, kali ini ke Padang Golf Sukajadi yang sangat terkenal di Batam. Dibuka pada tahun 2009 dan mempunyai 18 lubang.
Padang Golf Sukajadi merupakan sebahagian daripada kemudahan Radisson Golf and Convention Centre Batam, sebuah hotel baru yang mempunyai 240 bilik suite. Kebanyakan Pelancong Golf akan menginap di hotel ini apabila membeli pakej Golf Sukajadi.
Kepri Mall
Kalau mengikut perancangan, kami ingin pergi ke Mega Mall untuk shopping tetapi kami singgah Kepri Mall kerana mall ini terletak tidak jauh daripada Padang Golf Sukajadi. Pasaraya Carrefour dan Gedung Matahari antara pasaraya terbesar di dalam Kepri Mall ini.
Santai sejenak di J.CO Donuts n Coffee. Saya beli mug berlogo J.CO serta ikon Batam sebagai kenangan sambil menikmai kopinya.
Restoran Puteri Bungsu
Makan tengahari di Bukit, Restoran Puteri Bungsu. Restoran ini menyediakan makanan Masakan Padang.
Makanan memang sedap, biasalah agak mahal.
Masjid Raya Baitussyakur
Selepas makan tengahari di Restoran Puteri Bungsu, kami menunaikan Solat Jamak Zohor dan Asar di Masjid Baitussyakur Sei Jodoh.
Kek Lapis dan Bika Ambon
Cari ole-ole untuk bawa pulang ke Malaysia, Kek Lapis dan Bika Ambon. Kami pergi ke kilang membuat Kek Lapis dan Bika Ambon.
Nasib tak berapa baik hari ini, Bika Ambon telah habis, kami hanya dapat membeli Kek Lapis. Saya beli Kek Lapis Cheese dan Kek Lapis Prune untuk dibawa pulang nanti.
Nagoya Hill Mall
Pasaraya Nagoya Hill Mall adalah salah satu tarikan paling popular di Batam. Setiap pelancong akan singgah disini untuk membeli barangan untuk dibawa pulang.
Martabak Manis dan Sate Batam
Makan tengahari tadi masih terasa kekenyangan lagi, kami mencari makan malam yang ringan ringan sahaja.
Kami mencuba Sate Batam dan Martabak Manis. Martabak Manis seakan-akan Apam Balik.
HARI KETIGA
Selepas sarapan di hotel, supir telah bersedia untuk menghantar kami ke Terminal Feri Batam Center.
Untuk berangkat pulang, setiap seorang perlu membayar IDR 65,000 cukai pelabuhan.
Selepas selesai urusan Imigresen dan Kastam, kami menuju ke Feri. Feri akan bergerak jam 8.45 pagi waktu Batam. Lebih kurang 2 jam perjalanan, kami selamat sampai di Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru jam 11.45 pagi waktu Malaysia.
Kemudian mencari teksi untuk ke Terminal Bas Larkin Central, kadar tambang sebuah teksi sebanyak RM20. Makan tengahari dan Solat Jamak dahulu sementara menunggu perjalanan bas express pada jam 2.30 petang. Kami selamat sampai di TBS jam 7.00 petang.
Tamat percutian ke Batam, semoga Allah memurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik agar dapat melancong lagi.
Sekian
LINK
Comments
DISNI KAMI MENAWARKAN PAKEJ – PAKEJ MURAH KE DANAU TOBA, MEDAN, SAMOSIR ISLAND, DAN TEMPAT SHOPPING MURAH DI BANDAR MEDAN.
Saya bersedia nak bantu Tuan and Puan untuk ikut melancong bersama
saya.
Contact :+6281263636746
Whatsapp:+6281520944993
Instagram: infotoursmedan
Facebook :1. Eza purba
2. pakej lawatan
Email : infotoursmedan@gmail.com
https://agenttoursmedan.blogspot.com/