HARI LAHIR KE-51
Segala puji bagi Allah Tuhan Seru Sekelian Alam, Selawat dan Salam Untuk Nabi Muhammad SAW, Ahli Keluarganya dan Sahabat-sahabatnya.
Terima kasih, ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan. Terima kasih juga untuk setiap rezeki yang Engkau kurniakan. Terima kasih juga untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan. Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan. Terima kasih kerana keluarga bahagia yang Engkau amanahkan. Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku…. Tetapi terlalu sedikit pengabdianku terhadap Mu.
Engkau tetap menerima walaupun terkadang aku alpa, aku lupa. Aku silap dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan. Namun begitu besarnya kasih Mu….Engkau tetap melindungiku walaupun terkadang aku kalut merungut ketika saat-saat lemahku datang. Aku tak pernah menafikan hak Mu sebagai Khaliq walaupun terkadang terbuai dengan kesedihan yang amat perit.
Ampunkan aku ya Allah apabila aku merintih nasibku di hadapan Mu, kepada siapa lagi harus aku mengadu? Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini ya Allah… namun aku hanya hamba Mu yang daif dan lemah. Adakalanya aku kurang kesabaran. Ada masanya aku goyah keimanan. Ada masanya aku terikut bisikan syaitan. Namun dengan limpah kasih sayang Mu, Engkau menarikku kembali jauh daripada kesesatan.
Ya Muhaimin…Pimpinanlah tangan hamba Mu ini.. pimpinanlah hati hamba Mu ini akan sentiasa berpijak ke atas jalan kebenaran.
Ya Al Quddus… sebagai hamba Mu yang hina dina, aku takkan mungkin mencapai sempurna, tapi kasihanilah aku… bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti Titian Silatulmustakim Mu dengan tenang dan mudah tanpa cela.
Ya Al Hakim..Berilah aku kesabaran dalam menangani karenah kehidupan yang sangat mencabar keimanan dan kesabaranku… hulurkanlah aku kebijaksanaan agar aku mampu memacu kalam keinsanan hingga tiba masanya Engkau menjemputku pergi.
Ya Allah…Sesungguhnya kematian itu benar…. Alam kubur itu benar…..Hari Pembalasan itu juga benar….Hari ini, semakin hampir aku kepada Alam Kematian…. Semakin dekat aku dengan Alam Kubur… semakin takut aku terhadap Hari Pembalasan… izinkan aku dalam usia yang semakin sedikit ini aku mengaut sebanyaknya himpunan pahala, untuk ku jadikan bekalan kehidupan yang tiada penghujungnya nanti. Aku ingin menjadi anak, bapa dan muaalim yang soleh..
Terima kasih ya Allah atas segala takdir yang telah Engkau tentukan untukku… Engkaulah Yang Maha Besar… Allahu Akbar!.. peliharalah aku yang lemah ini agar terus berpegang teguh pada tali Mu…
Amin.
Amin.
Comments