5 Februari 2011, saya, Norzam dan Marshidah (Moore) telah menghadiri majlis perkahwinan anak Cikgu Sudir iaitu Nor Aini Sudir dengan Mohd Amiru Rani di Taman Sekilau, Kuantan. Kami bertolak jam 9.40 pagi dari rumah Moore. Kami berhenti di tempat rehat Genting Sempah kerana Norzam belum bersarapan lagi. Lebih kurang 10.45 pagi kami meneruskan perjalanan ke Kuantan. Lebih kurang 2 jam, kira-kira jam 12.45 kami sampai rumah Cikgu Sudir. Majlis pernikahan telah berlansung sebelum ini, paginya..
Apabila sampai, Cikgu Sudir dengan beberapa keluarga beliau menyambut kami. Tidak berapa lama, Datin Nor Fadzilah (Ilah) bersama Dato' pun sampai. Datin Ilah adalah kawan kami di Sekolah Tinggi Kluang (STK). Makanan yang disediakan adalah secara bufet. Setelah masing-masing mengambil makanan dan kami pun duduk semeja. Tengah-tengah makan, Rosni dan keluarga nya sampai., mereka kebetulan bercuti di Beserah. Rosni adalah kawan STK, sama batch dengan Norzam. Dahulu rumahnya berdekatan dengan rumah kami di Jalan Omar, di Kuanters Keretapi Jalan Rambutan, Kluang.
Cikgu Sudir begitu ceria dan gembira dengan kehadiran kami. Walaupun kami datang tidaklah ramai, tetapi keriuhan dan kemeriahan nampak di majlis tersebut. Cikgu Sudir tidak putus-putus memperkenalkan kami kepada hadirin yang hadir. Beliau sentiasa menyebut "Ini anak murid saya di STK dulu". Wajah gembira terbayang diwajahnya apabila memperkenalkan kami. Beliau rasa terharu dan bangga dengan pencapaian kami.
Selepas bersembang panjang, kami pun masuk ke rumah Cikgu Sudir dan bergambar kenangan bersama-sama pengantin bersama-sama Cikgu Sudir dan isteri. Kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas layan yang diberi oleh Cikgu Sudir serta keluarga. Walaupun kami sentiasa mengusik Cikgu, Cikgu jangan mengambil hati. Itu adalah untuk mengeratkan lagi silaturrahim dan persahabatan kita.
Selepas itu, kami bertolak ke Cherating di sempadan dengan Kemaman untuk membeli keropok lekor. Kami bernasib baik dapat membeli keropok lekor rebus kerana itu adalah keropok lekor penghabisan untuk hari ini. Bagi mereka yang sampai selepas kami tidak dapat membelinya. Selain dari keropok rebus/basah itu, kami juga membeli keropok kering untuk dibawa pulang.
Lebih kurang jam 5.00 petang, kami berangkat pulang ke rumah kediaman. Kami singgah sebentar di Kawasan Rehat, Maran di Lebuhraya Pantai Timur untuk menunaikan solat jamak zohor dengan asar. Kami meneruskan perjalanan, kira-kira beberapa kilometer sebelum Tol Bentong, jalan mula sesak. Kami mengambil lebih kurang 2 jam untuk melepasi Tol Gombak. Selepas menghantar Moore dan Norzam ke rumah mereka, saya sampai di ruma lebih kurang 11.00 malam.
Comments