Mengejutkan. Menghampakan. Itulah antara keluhan yang didengar daripada peminat dan rakan-rakan yang turut sama menyaksikan Anugerah Juara Lagu 25 (AJL 25) di Stadium Bukit Jalil malam tadi. Seakan-akan tidak percaya keputusan yang diumumkan.
Malah penonton bertindak meninggalkan stadium tika nama Ana Raffali diumumkan sebagai Juara Lagu 25. Buat pertama kalinya pemenang di booo penonton. Biasanya peminat tunggu untuk dengar si juaranya membuat persembahan semula.
Entah di mana silapnya sehingga rata-rata yang menonton tidak dapat menerima kenyataan Ana Raffali merangkul anugerah berprestij ini? Ketua juri, M. Nasir menjadi individu pertama dipersoal tika pemenang diumumkan, namun dia tetap yakin keputusan yang dibuat begitu tepat.
Baginya lagu Tolong Ingatkan Aku mempunyai nilai kejujuran yang tinggi dan keputusan dilakukan dengan penuh kesedaran.
"Tolong Ingatkan Aku lagu yang sensitif, personal dan simple. Itu yang kami cari sebenarnya. Mungkin lagu ini tidak popular dan lagu lain lebih ramai peminat. Banyak lagu yang sedap tapi lemah pada liriknya. Lirik memainkan peranan yang besar kepada sesebuah lagu.
"Saya sedar keputusan ini akan dipertikaikan, namun apa yang penting rasa yang hadir dalam diri bila mendengar lagu ini. Lagu ini jujur berbanding lagu lain yang bertanding. Juri memilih lagu yang bagus, bukan lagu yang popular," ulasnya.
Ana Raffali |
Lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Rafali berjaya mengungguli gelaran juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25). Menerusi kemenangan itu juga, lagu ciptaan dan lirik oleh Ana sendiri berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000 berserta trofi.
Tempat kedua pula dimenangi lagu Drama King dendangan Black dan Meet Uncle Hussain yang berjaya meraih kemenangan dan membawa pulang wang tunai RM15,000 serta trofi.
Tempat ketiga pula dimenangi lagu Noktah Cinta ciptaan Ajai dan lirik oleh Sheikh Kalam. Lagu dendangan Hafiz itu memenangi wang tunai RM12,000 dan trofi.
Lagu sama membawa tuah kepada Hafiz apabila memenangi kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.
Sementara itu, Faizal Tahir menang kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Hanyut dan meraih hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.
Antara lagu lain yang bertanding pada AJL25 kali ini ialah Selamat Malam nyanyian Faizal Tahir, Black (Sofea Jane), A.P.I (Pelita), Yuna (Cinta Sempurna), Hujan (Mencari Konklusi), Bunkface (Extravaganza), Tomok (Berlari), Shahir (Kebahagiaan Dalam Perpisahan), Adira (Ku Ada Kamu), Stacy (Jahat).
Barisan juri profesional untuk AJL25 daripada pelbagai latar belakang dalam bidang muzik yang terdiri daripada Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar, M Nasir sebagai Ketua Juri; Habsah Hassan; Hasridz Murshim Hashim (Acis); Mohd Azhar Abu Bakar (Azmeer); Suhaimi Abdul Rahman (Amy Search); Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas (Pacai) dan Andy Flop Poppy.
Acara gilang-gemilang ini sekali lagi menggandingkan tiga pengacara hebat iaitu Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar untuk memeriahkan suasana.
Selain menyaksikan finalis yang bertanding, AJL25 turut diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Francesca Peters menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran, Nash (Pada Syurga Di Wajahmu), M Nasir (Tanya Sama Hud Hud) dan interlude istimewa membabitkan Datuk Sharifah Aini yang mendendangkan lagu pop, Ziana Zain (balada) dan Datuk Siti Nurhaliza (Etnik Kreatif).
Pemenang Anugerah Juara Lagu 25
Juara AJL25 - Tolong Ingatkan Aku - nyanyian Ana Raffali
Naib Juara AJL25 - Drama King - nyanyian Meet Uncle Hussein & Black
Tempat Ketiga AJL25 - Noktah Cinta - nyanyian Hafiz
Persembahan Terbaik - Hanyut (Faizal Tahir)
Vokal Terbaik - Hafiz (Noktah Cinta)
.
Comments