Lebih kurang dua tahun aku menghantar anak sulung ku ke Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) di Sabak Bernam. Setiap kali lalu di Sekinchan, kami ternampak banyak iklan berbunyi "MENTARANG", "MENTARANG BAKAR". Kami sekeluraga tertanya-tanya apakah benda ini.
Pada 7 Julai 2011, saya perlu menghantar anak sulung saya pulang ke politeknik setelah beliau habis cuti semester. Beberapa hari sebelum itu, teringat pulak pasal mentarang. Saya pun bertanya dengan seorang rakan, beliau menyatakan mentarang adalah jenis seperti kerang, lala atau kepah dan sedap dimakan.
Semalam tiba hari untuk saya menghantar anak balik ke politeknik. Sebelum perjalanan, saya beritahu isteri saya tentang mentarang seperti mana rakan saya beritahu mengenainya. Kami berazam untuk membelinya nanti.
Selepas sarapan, kami bertolak dari rumah lebih kurang jam 8.00 pagi. Lebih kurang sejam lebih, kami tiba di Kuala Selangor. Dari sini, kami memerhatikan jika terdapat penjual-penjual mentarang berniaga. Sehingaalah sampai politeknik, kami tidak nampak ada orang menjual mentarang. Mungkin waktu pagi begini, mereka sedang dan masih sibuk mencari mentarang di pantai. Kami kurang pasti bagaimana mereka memperolehi mentarang ini. Adakah seperti mencari siput sedut atau cara mendapatkan kepah.
Lebih kurang jam 3.00 petang, selepas menghantar anak saya ke tempat penginapannya, saya dan isteri pun berangkat pulang ke rumah. Sebelum perjalanan, saya beritahu isteri saya "kita jangan lupa beli mentarang nanti". Apakah rupa mentarang sebenar ini masih bermain difikiran kami.
Semasa perjalanan kami dari Sabak Bernam ke Kuala Selangor, saya memandu perlahan dan memerhati jika ada penjual mentarang hari ini. Sehingga satu pondok sebelum pekan Sekinchan ada seorang pemuda menjual mentarang. Saya berhenti dan pada masa yang sama ada seorang wanita sedang membeli mentarang. Saya bertanya kepada wanita tersebut "biasa ke makan mentarang ini". Beliau menjawab bahawa beliau juga kali pertama berhenti membeli mentarang. Rupanya beliau juga serupa dengan kami. Disebabkan wanita itu sedang membeli mentarang maka harganya pun sama dengan beliau iaitu RM8.00 sekilo. Saya pun belilah 5 kg mentarang.
Selepas itu kami meneruskan perjalanan, Dalam perjalanan kami ternampak pula gerai menjual mentarang bakar. Kami pun berhenti di gerai tersebut untuk membeli dan untuk merasa mentarang bakar. Di gerai ini juga ada menjual mentarang. Disini mentarang diasingkan mengikut saiz, mentarang bersaiz besar dan mentarang bersaiz kecil. Disebabkan harga tidak dipamirkan, kami pun bertanya pada penjual harga mentarang tersebut. Terkejut juga, bila penjual itu memberitahu bahawa harga mentarang bersaiz besar RM18.00 sekilo dan yang bersaiz kecil RM15.00 sekilo. Dalam hati lalu berkata "nasib baik aku dah beli tadi". Saya rasa harga yang diletak bergantung jenis dan saiz kereta yang berhenti. Kami tidak membeli mentarag mentah tetapi kami membeli mentarang yang telah dibakar. Harga nya RM8.00 sepiring iaiut lebih kurang 10-15 mentarang. Kami makan mentarang dalam perjalanan, rasanya manis dan sedap.
Mengikut maklumat di WIKIPEIA Siput Mentarang merupakan sejenis haiwan bercengkerang yang boleh dimakan. Siput mentarang mempunyai kulit yang nipis dan biasanya tebih menggemari air yang mempunyai suhu rendah. Siput Mentarang hanya boleh ditemui di pantai yang berselut sahaja seperti di Perlis atau Pantai Sabak, Selangor dan biasanya ia dikutip semasa air surut.
Comments