Percutian Keluarga, pakat-pakat bercuti ke Perlis.
Semua berkumpul dan bermalam di Kg. Tasek, Tg, Blanja, Perak sehari sebelum percutian.
10 Feb 2013
Bertolak dari Kg Tasek lebih kurang jam 10.00 pagi.
Berhenti rehat di RnR Gurun. Makan Tengahari dan Solat Jamak Zohor/Asar.
Teruskan perjalanan ke Komplek Bebas Cukai, Bukit Kayu Hitam. Hanya boleh beli coklat, yang lain terasa mahal.
Dari Bukit Kayu Hitam ke Kuala Perlis untuk menikmati Laksa Beras Kak Su. Laksa yang terkenal di Perlis.
Selesai makan laksa, kami menuju ke Brilliant Inn di Arau. Disini adalah tempat penginapan kami di Perlis. Kami menginap 2 malam.
11 Feb 2013
Mula acara, bersarapan di Ezee Shoppe 'n' Cafe, Kompleks Tok Arau.
Selepas sarapan, kami pergi ke Gua Kelam, lebih kurang 30 minit perjalanan, kami sampai di Gua Kelam.
GUA KELAM
Gua Kelam adalah merupakan salah satu gua yang paling menarik di Malaysia iaitu gua yang berukuran 370-meter panjang yang berhampiran dengan pekan kecil Kaki Bukit, lebih kurang 36 km dari Bandar Kangar. Gua Kelam merupakan salah satu daripada gua batu kapur Formasi Setul yang berada dalam Banjaran Nakawan yang juga terletak di dalam Hutan Simpan Wang Mu.
Menurut sejarah, nama Gua Kelam adalah gelaran yang telah diberikan oleh pelombong-pelombong bijih sempena kegelapan yang wujud di dalam gua itu sendiri.
Untuk merentasi ke dalam gua ini, disediakan sebuah jambatan gantung untuk pelawat. Taman Rekreasi Gua Kelam adalah terkenal dengan jalan gua (“cave walk”).Sungai bawah tanah yang panjangnya lebih kurang 400 meter mengalir melalui banjaran batu kapur dapat dilihat semasa melalui gua ini. Sungai bawah tanah ini adalah fenomena kejadian semulajadi.
Semenjak pembukaan Gua Kelam pada awal tahun 2008, tempat ini semakin kerap dilawati oleh pelancong dalam dan luar negera yang tertarik dengan sejarah perlombongan dalam gua dan masih terpelihara.
Selepas melawat Gua Kelam, kami menuju ke Padang Besar
Bershopping sampai terlupa nak makan tengahari. Ramai orang berkunjung ke sini, maklumlah hari cuti. Penjual-penjual tidak berapa nak layan sangat terutama ketika proses tawar-menawar. Ini adalah peluang mereka untuk maraih keuntungan berlipat kali ganda.
Lebih kurang jam 5.30 petang, bergerak ke Masjid Osmaniah kira-kira 5km menuju ke Kangar untuk solat jamak Zohor/Asar.
Dari sini kami terus ke Kuala Perlis untuk makan malam di Medan Ikan Bakar. Kali ini di Restoran Mona.
Setelah selesai makan malam, kami balik ke Brilliant Inn untuk bermalam.
12 Feb 2013
Check-out dan menuju restoran Nasi Kandar Pokok Petai di Mata Ayer untuk bersarapan. Restoran ini pernah masuk dalam salah satu rancangan TV kerana keunikannya. Terdapat kerusi, meja, tempat bersantai yang diperbuat dari kayu dengan rekaan yang unik.
Dari Mata Ayer, kami ke Jitra kerana pelawaan Encik Halim bekas jiran (awal tahun 1980an) di Barek Polis, Jitra untuk bertandang dan makan tengahari di rumah beliau.
Selepas makan tengahari, kami bergerak menuju ke Kompleks Pekan Rabu di Alor Setar.
Selepas ronda-ronda di Pekan Rabu, kami berangkat pulang ke kampung.
Singgah sebentar dan makan malam di RnR Gunung Semanggol.
Kami selamat sampai di Kg Tasek lebih kurang jam 12.00 tengah malam.
Percutian kami tamat di sini.
LINK
Comments