Monday, April 22, 2013

PRU13 - Apa kata Ust. Ridhwan Tee Abdullah.

Petikan daripada Facebook


SUDAH dua hari penamaan calon berlalu untuk PRU13. Sebelum itu, nama-nama mereka yang bertanding telah diumumkan oleh parti-parti terbabit. Macam-macam reaksi kedengaran.

Ada yang merajuk kerana tidak terpilih. Tidak kurang yang agresif bertindak balas, membalas dendam dan pelbagai reaksi negatif. Pendek kata, semua mahu menjadi calon. Jarang kedengaran reaksi positif. Apabila tidak terpilih, mereka berkata; Alhamdulillah, syukur, kerana terlepas daripada memikul tanggungjawab yang begitu besar. Ramai lupa atau buat lupa, jawatan di dunia, ada perkiraan syurga dan neraka.

Dahulu, ramai yang takut dipilih menjadi pemimpin, kerana takutkan azab ALLAH SWT. Apatah lagi memimpin negara. Mereka akan dihisab terlebih dahulu. Hari ini, semua mahu jadi pemimpin, seolah-olah amanah itu hanya suatu permainan untuk mendapat kuasa.

Soal sama ada, menepati KPI (amanah) ALLAH SWT, boleh menang atau tidak, belakang kira. Yang penting, mahu bertanding. Malang sungguh mendapat manusia seperti ini.

Hari ini, berbeza dengan zaman dahulu. Persaingan sengit, ramai yang layak dan lebih layak. Mungkin kita sesuai untuk masa lalu, namun tidak relevan lagi untuk masa kini. Mustahil bagi seseorang pemimpin boleh mengenali setiap ahli untuk dinilai sebagai pemimpin. Biasalah jika ada yang terlepas pandang. Apa yang penting, bersangka baik jika tidak terpilih. Pun begitu, sedih juga melihat pemimpin berakhlak buruk turut terpilih.

Jangan bakar kelambu, hanya kerana marahkan nyamuk. Bila tidak dapat yang dicitakan, bakar jambatan. Fikirkan masa depan agama dan anak bangsa. Bukan beremosi kerana tidak terpilih. Berjuanglah kerana ALLAH SWT, bukan yang lain. Mesti ada hikmah di sebalik.

Ada beberapa calon Umno yang tidak terpilih mahu menyertai pembangkang atau bertanding calon Bebas. Walaupun sebelum ini telah beberapa kali menjadi wakil rakyat. Cukuplah. Berilah laluan kepada orang lain.

Di sinilah kelebihan Pas. Ahli mereka akur kepada arahan pucuk pimpinan. Malah, mereka yang tidak terpilih semakin kuat bekerja untuk parti sebab mereka tahu apa yang diperjuangkan.

Pada saya, Umno perlu mencontohi budaya politik Pas. Tidak dinafikan ada yang kecewa, tetapi tidak sampai bertindak menghancurkan parti.

Dalam sebuah negara demokrasi, tidak dinafikan, sesiapapun berhak untuk keluar masuk parti apabila dirasakan tidak sesuai. Itu khianat namanya.

Pada saya, jika tidak terpilih, caranya bukan melompat parti atau bertanding Bebas. Banyak lagi cara untuk berjuang. Paling kurang, duduk diam-diam. Main dengan anak cucu. Latih anak cucu menjadi pemimpin yang takutkan ALLAH SWT, dosa dan pahala. Moga bila besar nanti mereka menjadi pemimpin yang lebih baik. Ingat kata-kata Franklin D Roosevelt, “Kita tidak selalu boleh membangun masa depan untuk generasi mendatang. Tapi kita boleh menyiapkan generasi mendatang untuk masa depan”.

Dalam konteks politik Malaysia, jarang calon Bebas bertanding menang, kecuali di Sabah dan Sarawak. Jika ada pun yang menang, calon tersebut memang hebat seperti Shahrir Samad, bagi Parlimen Johor Bahru suatu masa dahulu. Adakah kita sebegitu hebat? Tidak perlu buang duit, kerana sudah tentu kalah. Gunakan duit itu untuk membantu mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal dan anak yatim. Pahalanya lebih besar.

Pada saya, mereka boleh bertukar parti, jika mereka benar-benar faham perjuangan parti tersebut, bukan kerana kecewa kerana tidak dilayan dengan baik setelah tidak berkuasa. Lumrah dunia memang begitu. Masa berkuasa, semua orang suka, kentut pun bau wangi. Tetapi bila tidak berkuasa, orang pandang pun tidak.

Inilah akibatnya, ketika berkuasa, kita tidak muliakan ALLAH SWT, bagaimana kita boleh mendapat penghormatan manusia. Khalifah Abdul Malik Bin Marwan pernah berkata; “Semulia-mulia manusia ialah mereka yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkuasa, memaafkan ketika berkuasa membalas dan bersikap adil ketika berkuasa”.

Justeru, saya menyeru kepada mereka yang obses untuk berkuasa. Muliakanlah ALLAH SWT ketika berkuasa (juga tidak berkuasa), Insya-ALLAH, ALLAH SWT akan muliakan kita di dunia. Jika tidak dapat pun kemuliaan di dunia, kita akan dimuliakan di akhirat.


Sumber

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...