Tuesday, November 15, 2011

Penutupan Istana Negara (Lama)



Tinggal sejarah, hari ini 15-11-2011, penutupan rasmi Istana Negara (lama) bagi bersemayam Yang Diperuan Agong.

Majlis penuh istiadat itu bermula jam 9 pagi dengan perarakan masuk anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi pasukan pancaragam pusat RAMD. Kumpulan penurun bendera terdiri daripada 10 anggota RAMD kemudian menurunkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong sambil diperdengarkan tiupan paluan akhir yang bertujuan memaklumkan bahawa Istana Negara akan berpindah ke Istana Negara di Jalan Duta. 

Istiadat diteruskan dengan perarakan kumpulan penurun bendera bersama pasukan istiadat berkuda ke pintu masuk utama istana bagi menyerahkan bendera berkenaan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil, mewakili pihak Istana Negara menandakan berakhirnya penugasan di Istana Negara.


Sebagai simbol penutupan bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu, Tengku Farok Husin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri, mengunci pintu masuk utama istana menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat menaikkan bendera di Istana Negara Jalan Duta dianggap unik kerana bendera itu dinaikkan secara automatik berbanding di Istana Negara "lama" yang dilakukan oleh anggota tentera.Istana Negara berpindah dan mula beroperasi di kompleks baru di Jalan Duta secara berperingkat mulai 19 Oktober lalu manakala penugasan kepada anggota pengawal daripada ATM bermula hari ini.


Istana Negara lama di kawasan seluas 11.34 hektar asalnya adalah sebuah banglo dua tingkat yang dibina pada 1928 oleh jutawan tempatan, Chan Wing.Kemudian banglo itu bertukar milik apabila kerajaan negeri Selangor membelinya dan selepas diubahsuai ia dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah.>Bangunan yang dijadikan sebagai istana kepada Sultan Selangor itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila Kerajaan Persekutuan membelinya dengan harga RM1.4 juta pada 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.

Lakaran Artis
Istana Negara (baru)

Istana Negara baru yang dibina dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu terletak di kawasan seluas 96.52 hektar dan akan menjadi lokasi pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 Disember ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...