Wednesday, October 20, 2010

Monorel Mina-Arafah Diguna Buat Pertama Kali Pada Musim Haji Ini


MEKAH, 20 Okt 2010-- Sistem monorel yang baru siap dibina akan digunakan buat pertama kali pada musim haji tahun ini bagi mengangkut jemaah untuk perjalanan antara Arafah dan Mina.

Wartawan Malaysia yang dipimpin oleh pengurus pasukan media Tabung Haji (TH) Malaysia, Ahmad Fadzil Ghazali berpeluang melihat sistem itu dilaksanakan secara percubaan Rabu.

Bagaimanapun, difahamkan pada peringkat permulaan sistem pengangkutan itu akan hanya dibuka kepada jemaah haji tempatan.

Sistem itu penting bagi mengatasi kesesakan jalan raya yang sering berlaku pada setiap musim haji terutama ketika jemaah bergerak menuju ke Padang Arafah untuk melakukan wukuf di sana - satu daripada rukun haji yang mesti dipenuhi oleh setiap anggota jemaah.


Wukuf kali ini ialah pada 15 November, bersamaan 9 Zulhijjah.

Jemaah haji dari Mekah akan bertolak ke Arafah dengan berpakaian ihram pada 8 Zulhijjah dan bermalam di sana.

Di Arafah, jemaah ditempatkan mengikut benua dan kemudian negara. Khemah-khemah disediakan oleh Muassasah, badan kerajaan Arab Saudi yang mengurus haji.

Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia musim ini akan dibawa dengan bas ke Arafah untuk bersama jutaan umat Islam lain.

Pasukan wartawan Malaysia melihat persiapan yang sedang dibuat untuk kemudahaan jemaah di Arafah, Mudzalifah dan tempat melontar di Mina.

Kerja-kerja penyelenggaraan dan mencantikkan Arafah kira-kira 21.9km dari Mekah giat dilaksanakan.

Pasukan ini turut meninjau Muzdalifah, 8km dari Arafah; tempat jemaah mabit (bermalam) bagi mengutip batu kecil untuk melontar Jamrah di Mina; dan pasukan tersebut kemudian ke Mina, perjalanan seterusnya sejauh 6.9km.


Sumber : Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...