Le Tour de Langkawi 2012 merupakan percutian kami sekeluarga ke Pulau Langkawi dan singgah sebentar ke tempat-tempat berdekatan dengan nya pada 11-14 November 2012. Percutian ini telah dirancang awal iaitu sebulan sebelum dari tarikh percutiaan. Semua tempahan hotel, kami lakukan melalui internet. Kami juga menggunakan perkhidmatan agen pelancongan di Langkawi, untuk ke destinasi-destinasi yang dirancang.
Nama Langkawi berasal "Lang" adalah singkatan "helang" manakala "kawi" bermaksud perang merah (coklat) di zaman melayu purba. Langkawi merupakan sebuah kepulauan yang terdiri gugusan 99 buah pulau. Pulau Langkawi terletak di luar pantai barat Malaysia, pantai negeri Kedah, dekat dengan negeri Perlis dan di selatan Thailand.
Sejak dianugerahkan status pulau bebas cukai, Langkawi melonjak menjadi destinasi percutian antarabangsa yang terkemuka.
HARI PERTAMA 11 NOV 2012
Padang Besar
Dari kampung, kami bertolak menuju ke Padang Besar. Kami sampai di Padang Besar lewat petang dan hanya sempat memasuki beberapa kedai. Baju jersi, pakaian wanita dan cadar Narita dapat kami beli. Boleh dikatakan murah juga.
T Hotel, Kuala Perlis
Menginap di T Hotel, Kuala Perlis. Hotel ini berdekatan dengan Jeti Kuala Perlis, memang sesuai bagi mereka yang hendak ke Langkawi.
Medan Ikan Bakar, Jeti Kuala Perlis
Menikmati makan malam di Medan Ikan Bakar, Jeti Kuala Perlis.
Esok paginya ke Kuanter Tiket Feri untuk mengambil tiket yang telah ditempah awal dengan agen pelancongan. Kami menaiki feri jam 9.30 pagi.
HARI KEDUA 12 NOV 2012
Awana Porto Malai, Langkawi
Lebih kurang 1 jam perjalanan menaiki feri, kami sampai ke Jeti Kuah. Agen pelancongan membawa kami terus ke Hotel Awana Porto Malai. lebih kurang 25 minit, kami sampai di hotel. Kami menginap dua malam disini.
Underwater World Langkawi
Destinasi pertama kami. Underwater World Langkawi terletak di Pantai Cenang.
UWL merupakan salah satu akuarium laut terbesar di Asia. Beroperasi sejak 26 Ogos 1995 dan menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk melawat Langkawi. Terdapat pelbagai spesis ikan, penguin Rockhopper, anjing laut dan sebagainya.
Terdapat terowong berjalan kaki gergasi sepanjang 15 meter terdiri sebanyak 500,000 liter air laut yang menempatkan ikan-ikan besar dan pelbagai spesis hidupan laut.
Perusahaan Gamat
Tak sah kalau ke Langkawi tidak membeli produk berasaskan Gamat. Kami singgah di sebuah gerai perusahaan gamat dipersimpangan ke Makam Mahsuri.
Kedai Batik Jawa
Jenguk sekejap di Kedai Batik Jawa.
Medan Selera Nelayan
Makan malam di Medan Selera Nelayan, bukanlah restoran besar, tetapi sebuah kedai makan biasa ditepi jeti nelayan di Jalan Bukit Malut, jalan ke Pantai Cenang. Ikan boleh dikatakan fresh, masakan pun rasa sedap.
HARI KETIGA 13 NOV 2012
Island Hopping
Island Hopping adalah perjalanan dengan bot laju untuk melawat 3 pulau iaitu Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa besar dan Pulau Beras Basah. Masa lebih kurang 4 jam.
Baju mandi, tuala dan baju persalinan perlu dibawa jika ingin mandi atau berenang.
Ke Jeti Teluk Baru, dekat dengan hotel kami, di sini merupakan terminal/jeti untuk program Island Hopping.
Kira-kira 15 minit menunggu, tiba giliran kami untuk memulakan perjalanan program Island Hopping. Ada satu keluarga dari Melaka bersama-sama kami menyertai perjalanan ini.
1. Pulau Dayang Bunting
Kira-kira 10 minit perjalanan menuju Pulau Dayang Bunting, kami berhenti sebentar untuk menikmati panorama ditengah-tengah laut yang dikeliling oleh beberapa pulau. Kelihatan bentuk gunung yang menyerupai seorang perempuan sedang terbaring dengan bentuk kepala, dada dan perut yang sedang bunting.
Di tengah pulau Dayang Bunting pula terdapat tasik air tawar. Untuk ke tasik tersebut, berjalan kaki menyusuri trek, menaiki dan menuruni tangga-tangga untuk sampai ke situ. Terdapat banyak monyet semasa perjalanan kami ke tasik.
Air tasiknya hijau jernih dan dipercayai dapat merawat kemandulan dengan meminum atau mandi dengannya.
2. Pulau Singa Besar
Tempat kedua adalah Pulau Singa Besar. Kita tidak mendarat tetapi berhenti sebentar dan duduk di dalam bot sambil memerhati dan melihat kecekapan burung-burung helang menyambar dan menangkap ikan di permukaan laut.
3. Pulau Beras Basah
Pulau ini mempunyai pantai yang cantik, pasir di pantai ini putih dan halus. Kebanyakan pelancong ke sini akan bersantai, berjemur, mandi-manda, mencuba bot pisang, Jet Ski dan pelbagai aktiviti pantai.
Oriental Village/Cable Car
Perkampungan Oriental atau Oriental Village yang terletak di kaki bukit banjaran Gunung Mat Chingcang, barat laut pulau Langkawi. Tarikan utama pelancong ke sini adalah Kereta Kabel atau Cable Car. Terdapat beberapa tasik, gerai-gerai cenderahati dan Food Court dan Zoo Mini untuk dilawati atau menikmati makanan sementara menunggu giliran menaiki kereta kabel.
Kereta Kabel ini mula dibuka kepada umum pada 27 Febuari 2005 untuk memudahkan pelancong tiba ke puncak gunung yang tingginya 713 meter. Panjangnya 2.2 km dan terpanjang di dunia, mengalahkan kereta kabel di Switzerland.
Terdapat 3 stesen sepanjang laluan kereta kabel iatu Stesen Pangkalan, Stesen Pertengahan dan Stesen Puncak.
Kami terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan tiket dan terpaksa juga beratur menunggu kira-kira 45 minit untuk dapat menaiki kereta kabel tersebut.
Dalam perjalan menaiki ke puncak, kami dapat melihat Air Terjun Telaga Tujuh, kehijauan pokok-pokok hutan, laut, pulau-pulau yang berdekatan.
Titian Gantung Langkawi atau Langkawi SkyBridge merupakan salah satu daya tarikan yang unik di Komplek Kereta Kabel, Langkawi. Ia siap dibina pada tahun 2004, titian gantung yang melengkung ini dibina diatas puncak Gunung Mat Chinchang. Dihubungkan dari stesen puncak. Walau bagaimana pun, ketika lawatan kami, SkyBridge ini ditutup untuk peningkatan dan penyelenggaraan.
Menikmati keindahan permandangan di Stesen Puncak selama 40 minit, selepas itu kami pun turun.
Bamboo Beach Restaurant
Menikmati makan malam di Bamboo Beach Restaurant. Restoran ini terletak di Kampung Penarak
HARI KEEMPAT 14 NOV 2012
Hari ini hari terakhir di Langkawi. Selepas sarapan pagi, kira-kira jam 10.00 pagi, kami check-out dan menuju Makam Mahsuri.
Makam Mahsuri
Mahsuri adalah anak perempuan kepada pendatang Siam yang beragama Islam. Mahsuri dihukum mati setelah dituduh melakukan perbuatan sumbang. Pada hari hukuman, keris keramat kepunyaan keluarganya sendiri digunakan untuk membunuhnya. Namun begitu terdapat satu perkara aneh berlaku dimana darah yang keluar dari badan Mahsuri berwarna putih yang membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata.
Disaat-saat akhir kematiannya, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi akan menjadi kawasan yang mundur selama tujuh keturunan. Antara kebenaran lagenda atau terbuktinya sumpahan itu, Langkawi hanya mula berkembang maju setelah tujuh keturunan dalam kesusahan.
Kami hanya mengambil gambar kenangan disini kerana kesuntukan masa.
Pekan Kuah
Shopping di Pekan Kuah, kami beli beberapa jenis coklat dan barangan lain. Masih murah harga coklat di Langkawi.
Dataran Lang
Sementara menunggu feri untuk pulang ke Tanah Besar, kami mengambil peluang bergambar kenang-kenangan di Dataran Lang.
Jam 2.30 petang, kami manaiki feri LADA untuk berangkat pulang ke Tanah Besar.
Sampai di Jeti Kuala Perlis, kami terus ke Padang Besar kali kedua.
Restoran Laksa Kak Su
Makam malam kali ini, cuba Laksa Perlis di Restoran Laksa Kak Su. Ramai orang kata sedap. Guna GPS untuk cari restoran ini. Sampai jam 7.30 malam, bernasib baik restoran masa buka dan laksa masih ada.
Restoran ini tutup Hari Selasa dan beroperasi sehingga jam 7.00 malam. Memang sedap laksanya.
Hotel Grand Crystal
Menginap di Hotel Grand Crystal, Alor Setar.
Check-out jam 12.00 tengahari kami berangkat pulang.
Tamat percutian kami.
Ada beberapa tempat yang kami rancang tetapi tidak sempat melawatnya. Mungkin di lain masa kami akan datang semula ke Langkawi.
LINK
Comments