Sunday, April 10, 2011

Ketenangan Perth gamit pelancong


Terletak di Australia Barat, Perth yang diasaskan pada 11 Jun 1829 oleh kapten James Stirling tidaklah sehebat Sydney dan Melbourne. Ia dianggap bandar yang tenang dan damai, malah kegiatan penduduknya perlahan, dengan kawasan metropolitannya di barat daya benua iaitu di antara Lautan Hindi. Namun, ketenangan inilah yang menarik minat ribuan pelancong untuk berkunjung ke Perth, termasuk dari Malaysia saban tahun.

Penerbangan penulis bersama rombongan Saidina Travel bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, mengambil masa lima jam untuk ke Perth.

Tidak terasa keletihan kerana layanan baik yang diberikan petugas syarikat penerbangan, apatah lagi makanan Islam segera dihidangkan kepada anggota rombongan. Setibanya di Lapangan Terbang Perth, kami disambut mesra oleh pemandu pelancong.


Sepanjang perjalanan ke bandar Perth ternyata mempesonakan kerana setiap sudut dan pelosok dipenuhi kehijauan pokok serta saujana memandang Sungai Swan yang mendamaikan. Kami kemudian menginap di King's Hotel yang turut menyediakan makanan halal kepada tetamu beragama Islam.

Selepas mandi dan bersolat jamak dan qasar, kami dibawa ke restoran makanan Muslim yang berhampiran. Keesokannya, selepas bersarapan, kami bergerak menuju ke Macadamian Nuts Factory. Di situ, pemilik ladang mengambil kesempatan menerangkan kaedah menuai buah berkenaan.

Selepas bergambar, kami dibawa melawat kilang untuk ditunjukkan cara memproses kacang sehingga ia dipek di dalam plastik dan botol dengan pelbagai perisa seperti madu, perisa asli dan smoke serta caramel.


Kami meneruskan perjalanan ke Caversham Wildlife Park pula yang mengambil masa setengah jam. Pelbagai binatang liar Australia dipelihara di situ dengan tempat pertama adalah Taman Kangaroo.

Kami diberi segenggam makanan dan berpeluang memberi makan haiwan terbabit di atas tangan sendiri. Pada mulanya seram juga jika tergigit jari, tetapi ia binatang jinak dan biasa hidup dengan manusia. Dalam pertunjukan biri-biri yang dikawal anjing dan penunggang kuda, demonstrasi mengetam bulu biri-biri untuk dijadikan baju sejuk dan pelbagai barangan lain sungguh menarik.


Catatan : Othman Ahmad (Harian Metro 10 April 2011)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...