Friday, May 10, 2013

Soal Jawab HAJI (Soalan 26)

BAB 4 - SYARAT-SYARAT WAJIB HAJI

Soalan 26 :

Jika ibu bapa seseorang anak itu ingin membawa anaknya, bagaimanakah pelaksanaan hajinya?

Jawapan :

Kanak-kanak secara dasarnya terbahagi kepada dua jenos, yang pertama sudah mumaiyiz, hukumnya telah dijelaskan di atas (Soal Jawab 25), dan yang kedua ialah belum mumaiyiz. Bagi kanak-kanak yang belum mumaiyiz, bapa atau penjaganya bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja itu bagi pihaknya. Sebagai penjelasan :

Langkah Pertama :

Bapa atau penjaganya hendaklah meniatkan dalam hati-nya bahawa anak itu berihram. Contoh niat bagi pihak anaknya itu : "Sahaja aku berihram dengan ihram haji untuk anak ini kerana Allah."

Langkah Kedua :

Menyempurnakan semua rukun dan wajib  haji. Anak itu hendaklah dibawa bersama menjalani kesemua rukun yang berkaitan seperti wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina dan ditahlulkan.

Bagi melontar, tawaf dan sa'i pula, penjaga itu akan melakukan untuk anak tersebut. Syaratnya bapa atau penjaga itu diwajibkan melakukan bagi dirinya terlebih dahulu sebelum melakukan untuk anak.

Langkah Ketiga :

Bapa atau penjaga mestilah menjaga anak tanggungannya itu daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam ihram. Jika anak-anak melanggar pantang larang dalam ihram sedangkan dia masih belum mumaiyiz, maka penjaganya tidak dikenakan sebarang dam. Sebaliknya jika kanak-kanak yang melanggar pantang larang itu sudah mumaiyiz, maka wajiblah dikenakan dam.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn Abbad r.a. menceritakan bahawa Nabi SAW bertemu dengan satu rombongan di satu tempat. Dalam pertemuan itu, seorang wanita mengangkat kepada Nabi SAW seorang kanak-kanak (yang belum mumaiyiz) seraya bertanya adakah kanak-kanaknini haji? Nabi SAW menjawab: "Ya dan bagi awak pahala". (Riwayat Muslim 1336 dan Ibn Majah 2910)

Bagi ibu bapa yang membelanjakan wang untuk anak-anaknya, setiap wang yang digunakan untuk membiayai perbelanjaannya mendapat pahala daripada Allah.



Sumber : Soal Jawab remeh-temeh tentang HAJI tapi anda malu bertanya ...
(oleh Zahazan Mohamad dan Mohammad Nidzam Abd. Kadir).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...