Thursday, July 26, 2012

TAZKIRAH - RUANG TIMBA ILMU


TAZKIRAH solat tarawih digalakkan sebagai nilai tambah kepada jemaah kerana selain mendapat pahala berjemaah menunaikan solat sunat yang hanya ada pada Ramadan, mereka juga mendapat pencerahan ilmu. Majlis tazkirah yang diadakan antara solat sunat tarawih adalah ruang terbaik untuk jemaah menimba ilmu berkaitan Islam memandangkan bukan semua mempunyai kelapangan menghadiri majlis ilmu.


Walau bagaimanapun, majlis ilmu itu perlu dihadkan kepada 15 minit iaitu tempoh mencukupi untuk memberi peluang penceramah menyampaikan mesej bermanfaat kepada jemaah. Cuma yang perlu diberi perhatian ialah masanya biar sesuai iaitu jangan terlalu lama hingga meresahkan jemaah yang hadir. Solat tarawih dan tazkirah, kedua-duanya patut diraikan untuk mengimarahkan lagi program disediakan masjid dan surau yang matlamat utama adalah mengajak jemaah menghayati Ramadan serta meningkatkan pengetahuan mengenai Islam.

Walaupun tazkirah tarawih sudah menjadi sebahagian amalan biasa di masjid dan surau, namun masih wujud pertentangan pendapat sama ada ia perlu diteruskan atau tidak dianjurkan kerana pelbagai sebab.

Isu turut dibangkitkan apabila sesi tazkirah dijadikan medan untuk menyebarkan fahaman politik dan tidak kurang yang merungut apabila ceramah mengambil masa lebih lama berbanding solat tarawih.

Bagi memastikan jemaah dapat menumpukan perhatian terhadap ceramah yang disampaikan, penceramah perlu menggunakan pendekatan yang mampu memikat terutama dari segi pemilihan topik seperti membicarakan tajuk yang pelbagai mengajak umat Islam mendekatkan diri kepada Allah, persiapan sebagai hamba Allah serta menegak makruf dan menghalang segala kemungkaran. Oleh itu pemilihan tajuk yang tepat penting supaya sepanjang 30 hari ini banyak ilmu mengenai Islam dapat disampaikan dan diterima jemaah.

Mengenai faktor masa yang dijadikan isu sesetengah pihak, beliau berpendapat 15 minit yang diselitkan antara solat tarawih lapan rakaat (kebiasaan bagi kebanyakan masjid dan surau) adalah tempoh sesuai justeru bagi ceramah melebihi masa itu mungkin akan menjejaskan tumpuan jemaah. Kebijaksanaan penceramah menggunakan sebaiknya masa itu dengan menyampaikan input yang baik akan memberi impak besar kepada jemaah.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...