Saturday, December 31, 2011

Osbon Muncul Juara Maharaja Lawak Mega


SHAH ALAM, 31 DIS 2011: Malam kemuncak Maharaja Lawak Mega (MLM) menjadi malam yang penuh bermakna buat kumpulan Osbon apabila mereka diisytiharkan sebagai juara MLM, menewaskan tiga finalis lain.

Pengumuman kejuaraan Osbon dibuat oleh hos MLM, Dato' AC Mizal pada malam final tersebut yang berlangsung dari Stadium Melawati, Shah Alam. Osbon yang dianggotai dua pelawak veteran, Os dan Abon muncul juara selepas mendapat hasil undian tertinggi penonton dan perkiraan markah daripada juri.


Kemenangan Osbon membolehkan mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM350,000 berserta trofi.

Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Boboi yang dianggotai dua nama besar dalam industri hiburan iaitu Afdlin Shauki dan Harum Salim Bachik. Mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Tempat ketiga pula dimenangi peserta dari Indonesia, kumpulan Saehu yang dianggotai Eko, Bocil dan Fika. Tempat ketiga membolehkan membawa pulang wang tunai RM150,000 berserta trofi.

Gabungan selebriti tempatan, Ifa Raziah bersama dua pelawak Singapura iaitu Suhaimi dan Ariff meraih tempat keempat pada malam final ini. Mereka bertiga yang menggelarkan diri sebagai kumpulan Syok meraih hadiah berupa wang tunai RM50,000 berserta trofi.



Kesemua finalis telah membuat dua persembahan pada malam ini yang bertemakan bebas dan muzikal. Finalis telah diadili oleh juri tetap pertandingan iaitu chef selebriti terkenal, Dato' Redzuawan Ismail atau Chef Wan bersama lagenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan serta penyanyi tersohor tanah air, Dato' Siti Nurhaliza. Manakala pelakon popular Aaron Aziz tampil selaku juri jemputan.

Naib juara Maharaja Lawak, kumpulan Jozan pula muncul sebagai artis jemputan untuk menghiburkan penonton. MLM turut bersiaran secara langsung di Astro Warna (saluran 132).



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...