Thursday, December 22, 2011

BNM perkenal not, syiling baru


Bertemakan ‘Keunikan Malaysia’, siri keempat wang kertas itu memaparkan ekspresi tradisional seni dan kraftangan, keajaiban alam, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi, manakala bahagian depan semua denominasi wang kertas pula mengekalkan potret Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, bunga raya dan corak songket kain tenunan tradisional.



Mata wang RM20 kembali diperkenalkan dalam Siri Mata Wang Baru oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selepas lebih 16 tahun dihentikan pengeluarannya pada 1995. Wang berwarna oren itu memaparkan ilustrasi dua spesies penyu yang hanya boleh ditemui di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Belimbing (Dermochelys coriacea) yang juga lambang hidupan laut tropika negara yang pelbagai serta berwarna-warni.



Siri Mata Wang Baru meliputi siri wang kertas dengan reka bentuk baru membabitkan nota RM10, RM20 dan RM100 serta wang polimer RM1 dan RM5. Nota RM50 menggunakan reka bentuk sedia ada.

Semua mata wang kertas dan polimer ‘berwajah’ baru itu akan mula diedarkan pada separuh kedua tahun depan manakala syiling baru meliputi lima sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen yang dilancarkan Julai lalu akan mula diedarkan kepada orang ramai Januari depan.



Ciri unik yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi yang menjadi nadi negara merupakan inspirasi serta ilham utama dalam reka bentuk wang kertas siri terbaru berkenaan.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...