Monday, June 27, 2011

Lee Chong Wei Juara Terbuka Indonesia 2011


Datuk Lee Chong Wei bukan sekadar merangkul gelaran Siri Super Terbuka Indonesia buat kali keempat, bahkan pemain badminton No. 1 dunia itu mempamerkan kesempurnaan apabila tidak melepaskan walau satu set pun pada kejohanan tersebut selepas perlawanan akhir di Stadium Istora Senayan, Jakarta, semalam (26 Jun 2011).

Kemenangan mudah 21-11, 21-7 ke atas Peter Hoeg Gade dalam tempoh 31 minit di Stadium Istora Senayan semalam, membuktikan kejaguhan anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini selain melebarkan rekod pertemuan dengan pemain veteran Denmark itu kepada 12 berbalas satu.


Selaku juara Terbuka Indonesia 2011, Chong Wei yang turut mengulangi kejayaan di sini pada 2007, 2009 dan tahun lalu, meraih ganjaran AS$45,000 (RM136,822). 

Gade, 34, yang muncul naib juara pulang dengan hadiah AS$22,000 (RM66,891).


Pemain negara itu juga mencatat sejarah tersendiri pada kejohanan itu sebagai pemain bukan Indonesia pertama yang menjuarainya kali ketiga berturut-turut. Kejayaan yang dilakar semalam menjadikan Chong Wei menjadi pemain bukan Indonesia pertama merangkul kejuaraan hatrik dan melakar nama sebaris dengan wira tempatan seperti Ardy Wiranata dan Taufik Hidayat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...