Wednesday, March 23, 2011

MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KEDUA BELAS (MAPPA XII)


PUTRAJAYA, 22 Mac 2011 -- Penjawat awam perlu berani menilai dan mengkaji semula amalan-amalan pada masa kini sebagai usaha untuk melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan sistem penyampaiannya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini termasuk melihat kembali sistem dan prosedur kerja sedia ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan tugas.

Beliau berkata mungkin terdapat peraturan dan undang-undang serta surat pekeliling yang sesuai pada suatu ketika dahulu tetapi pada hari ini, tidak kena pada tempatnya.


"Yang penting, kita perlu berani berubah, sebelum perubahan menenggelamkan kita. Saya percaya, untuk berubah itu, ia adalah sesuatu yang amat perlu dilakukan dan bukan lagi sebagai suatu opsyen," katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa malam.

Beliau kemudiannya melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Alam Jepun JPM, bagi membantu mengurangkan beban rakyat negara berkenaan yang dilanda gempa bumi dan tsunami baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib berkata penjawat awam juga perlu sentiasa relevan dan peka dengan kehendak pelanggan dan pemegang kepentingan, iaitu rakyat seperti yang ditekankan beliau melalui gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Beliau juga berkata sebagai nadi penggerak dan teras utama jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan, JPM perlu menunjukkan tadbir urus yang baik dan contoh teladan dalam perkhidmatan awam.

"Langkah itu sebagai usaha kita untuk terus mengorak langkah ke hadapan dan menjadikan tahun ini untuk meneruskan momentum dalam menggerakkan agenda utama negara," katanya.


Berikut perkara yang diumumkan Perdana Menteri:

  1. Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, pesara skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau di bawah Seksyen 6A(6) Akta 227/239 termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan percuma.
    Pelaksanaan pemanjangan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP ini hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang telah di bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan. Bagaimanapun, ia tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.
  2. Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, ganjaran akan dibayar 100 peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah pilihan skim pencen sekali gus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.
  3. Kajian semula sistem saraan sedang dijalankan bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.
  4. Kerajaan akan memperkenalkan anugerah khas kepada penjawat awam yang aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan selain menunjukkan mutu kerja yang tinggi. Untuk itu, tahap prestasi kerja dan penglibatan aktif dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan tersebut.
  5. Pegawai-pegawai awam di peringkat pertengahan yang berpotensi tinggi akan dihantar untuk mengikuti kursus-kursus terpilih bagi menyediakan mereka dengan kemahiran kepimpinan. Pada masa sama, kemajuan kerjaya dan peluang-peluang kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana akan diperluaskan kepada pegawai yang telah berjaya memiliki kelayakan yang tinggi.
  6. Kajian terperinci akan dilaksanakan untuk merasionalisasikan perkhidmatan awam bertujuan mengurangkan lebihan anggota melalui penjajaran semula fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong dan pengagihan semula perjawatan.
  7. Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) digantikan dengan penilaian baru yang lebih memfokus kepada elemen pembangunan kompetensi berasaskan gred dan jawatan serta mengambil kira keunikan pelbagai skim perkhidmatan. Untuk memastikan ia relevan, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
  8. Jawatankuasa penilai pemantauan prestasi akan ditubuhkan bagi memastikan pegawai kerajaan terlibat dalam sistem pool tidak teraniaya di mana elemen keadilan dan penilaian bebas akan diamalkan.
  9. Bagi pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi, satu kaedah exit policy akan diwujudkan di bawah Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia untuk menamatkan perkhidmatan tersebut.

1 comment:

luahfikiran said...

SALAM,
KITA NI BERJIRAN ! LF DI BBB ! NANTI KITA JUMPA !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...