Tuesday, July 13, 2010

Gerhana Matahari meliputi Pulau Easter, Chile, Argentina dan Pacific Selatan


HANGA ROA, Chile 12 Julai 2010 - Gerhana penuh matahari membayangi kawasan lingkaran sejauh 11,000 kilometer di selatan Pasifik semalam, menjerumuskan pulau-pulau terpencil ke dalam kegelapan dalam fenomena alam yang memuncak di Pulau Easter.




Langit menjadi gelap pada tengah hari apabila bulan lalu di hadapan matahari dan berada sebaris dengan bumi, menghalang cahaya matahari yang baru beberapa detik sebelum itu menyinari patung-patung batu purba di pulau yang merupakan wilayah khas Chile ini.


Tepukan gemuruh kedengaran daripada beribu-ribu peminat cakerawala yang mula berhimpun di ibu kota Pulau Easter ini untuk menyaksikan gerhana selama empat minit dan 41 saat itu.


Gerhana ini dapat disaksikan dengan jelas dalam keadaan langit cerah kerana awan beredar ditiup angin kencang.

Di Tahiti, di mana gerhana matahari itu mula kelihatan, kesannya begitu menakjubkan sehinggakan orang ramai yang sedang menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia memalingkan pandangan dari skrin televisyen untuk mendongak ke langit.


Bermula pada 1815 GMT (pukul 2.15 pagi ini waktu Malaysia) apabila umbra atau bayangan menyelubungi kawasan kira-kira 700 kilometer ke tenggara Tonga, gerhana itu bergerak dalam satu lingkaran menghala ke timur dan membayangi Pulau Easter pada 2011 GMT (pukul 4.14 pagi waktu Malaysia).

Fenomena itu berakhir pada 2052 GMT (4.52 pagi waktu Malaysia) sejurus sebelum senja di Patagonia, setelah merentasi selatan Chile dan Argentina.


Kira-kira 4,000 pelancong, saintis, jurugambar, penerbit filem dan wartawan membanjiri Pulau Easter, sebuah tapak Warisan Dunia yang mempunyai keluasan hanya 160 kilometer persegi.


Pihak berkuasa Pulau Easter telah memperketatkan kawalan keselamatan terutamanya di tapak warisan penting, termasuk patung-patung batu besar berusia 3,000 tahun yang dikenali sebagai moai itu. - AFP

Sumber Telegraph.co.uk, Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...