Monday, July 19, 2010

Apa Ada Pada Gula?


"Gula memudaratkan kesihatan".
"Gula itu racun".
"Gula penyebab pelbagai penyakit kronik."

Ini antara perkara negatif yang dikaitkan dengan gula. Malah pepatah Melayu ada juga menyebut "Mati semut kerana gula".

Namun, di sebalik impak negatif yang semakin dikaitkan dengan pengambilan gula secara berlebihan, adalah jelas sesetengah masyarakat pengguna di negara ini masih tidak mahu mengambil peduli akan bahaya yang boleh disebabkan oleh gula.

Untuk kelompok ini, kesihatan mungkin bukan isu utama dalam kehidupan mereka. Peringatan atau nasihat baik daripada pakar pemakanan atau perubatan bak 'masuk telinga kanan keluar telinga kiri'.


SEJARAH GULA


Mahu tidak mahu gula pasir halus sememangnya menjadi sebahagian daripada kehidupan masa kini sehinggakan ada yang seperti tidak boleh hidup tanpa bahan pemanis ini.

Menurut Ensiklopedia bebas, Wikipedia, bahan utama yang digunakan dalam pembuatan gula ialah tebu dengan tebu kuning dan tebu hitam biasa digunakan.

Dilaporkan kira-kira 107 buah negara menanam tebu untuk menghasilkan sekitar 1,324 juta tan gula. Negara pengeluar terbesar gula, mengikut Wikipedia ialah Brazil, India, China dan Pakistan.

Batang tebu yang tebal menyimpan sukrosa. Secara ringkasnya, daripada air tebu yang kaya dengan sukrosa ini, gula dihasilkan.

GULA ITU RACUN

Rasa gula sememangnya manis tetapi di sebalik kemanisan itu ia sebenarnya mengundang bahaya!

Pada 1929, Sir Frederick Banting, penemu bersama insulin (hormon utama mengawal metabolisme glukos dalam tubuh manusia) mendapati diabetes ialah penyakit lazim dalam kalangan pemilik ladang tebu warga asing di Panama sementara pemotong tebu yang terdiri daripada penduduk peribumi Panama tidak menghidap penyakit kronik itu.

Sebabnya? pemilik ladang tebu mengambil gula putih halus yang dihasilkan daripada tebu dengan kadar yang banyak sedangkan pemotong tebu sekadar mengunyah keratan tebu!

Impak negatif gula putih halus turut ditekankan pakar pemakanan dunia yang tersohor, Dr William Coda Martin.

Pada 1957, beliau tampil mengklasifikasi gula putih halus sebagai 'racun'! Dr Martin membuat takrifan ini daripada segi perubatan kerana gula merupakan antara bahan yang jika diaplikasi ke tubuh, ditelan atau diproses di dalam tubuh akan menyebabkan atau mungkin menyebabkan penyakit.

Beliau turut mengklasifikasi gula sebagai racun kerana kandungan vitamin dan galiannya rendah dan apa yang tinggal hanyalah karbohidrat tulen.

Tetapi gula akan 'melahap' vitamin dan galian yang berharga daripada tubuh manusia antaranya untuk tujuan pencernaan dan detoksifikasi.

Pengambilan gula setiap hari juga dilapor menghasilkan keadaan lebihan asid dan galian di dalam tubuh dan ketidakseimbangan ini perlu diperbetul.

PERLUKAH GULA?


Selain gula pasir halus dan gula perang sebagai bahan pemanis, terdapat bahan pemanis lain seperti madu dan sirap maple serta 'gula yang tidak dapat dilihat'.

Pakar pemakanan tempatan, Mary Easaw John menarik perhatian bahawa gula yang tersembunyi boleh ditemui di dalam roti, aiskrim, coklat, pastri, pai dan kuih-muih yang lain.

"Untuk membuat roti, ia memerlukan yis atau ragi. Bahan ini pula berkehendakkan gula untuk mengaktifkannya dan memastikan roti menjadi," katanya

Beliau berkata jeli dan jem mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Sebagai contoh, 60 peratus kandungan jem ialah gula.

Sepotong kuih pula, katanya, mengandungi setengah sudu teh gula, sementara minuman berkarbonat pula mengandungi lapan hingga sembilan sudu teh gula.

Justeru, katanya kita sebenarnya tidak memerlukan gula pasir halus dalam kehidupan harian.

"Apa yang perlu ialah kita mendidik cita rasa kita. Kalau hendak pun mengambil gula pasir halus, enam atau tujuh sudu teh gula pasir halus sudah memadai. Ini termasuk gula yang tersembunyi seperti dalam kek serta manisan yang lain.

"Gula yang berlebihan dalam tubuh manusia akan disimpan sebagai lemak. Ini berbeza jika kita makan sayur atau buah-buahan, ada galian dan vitamin dan ia tidak disimpan dengan cara begitu," katanya kepada Bernama.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya berhati-hati apabila mahu membeli makanan yang sudah diproses.

"Ambil sedikit masa untuk teliti label makanan. Periksa kandungan lemak dan gula," kata Easaw John.

LEDAKAN DIABETES


Sebuah agensi berita Barat baru-baru ini melaporkan, makanan ringan Barat menjadi punca ledakan penyakit diabetes di rantau Asia Tenggara.

Kajian yang dibuat mendapati kira-kira 11 peratus lelaki dan 12 peratus wanita di Bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam, tanpa mereka sedar menghidap diabetes Jenis 2, tidak termasuk empat peratus rakyat negara itu yang disahkan sebagai pesakit diabetes.

Diabetes Jenis 2, paling lazim disebabkan paras lemak dan gula yang tinggi dalam pemakanan di samping kurang senaman. Ia antaranya boleh menyebabkan kegagalan ginjal dan penyakit jantung.

Di peringkat global pula, Persekutuan Diabetes Antarabangsa menganggarkan menjelang 2025 akan terdapat 147 juta orang penghidap diabetes berusia 60 tahun atau lebih.

Statistik negara turut menunjukkan peningkatan dalam jumlah penghidap diabetes.

Pada 2009, sebanyak 17 peratus daripada 27 juta penduduk menghidap diabetes sementara data 2006 pula menunjukkan 21 peratus rakyat mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obesiti.

Justeru, apakah kita mahu terus menikmati kemanisan gula dan menjadi penderita penyakit diabetes atau penyakit kronik lain terutama di usia senja kita?


Sumber - BERNAMA,
Pusat Maklumat Pemakanan MOH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...